Projek RTB Sungai Muar Fasa 3 capai lebih 35 peratus, atasi banjir di Segamat
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 2 min read

Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Muar Fasa 3 dilaporkan mencapai kemajuan lebih 35 peratus, sekali gus menjadi antara usaha utama Kerajaan Persekutuan dalam menangani masalah banjir yang sekian lama membelenggu daerah ini.
Menurut kenyataan Pejabat Parlimen Segamat, satu tinjauan tapak telah dilakukan semalam oleh Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran bagi menilai status terkini pelaksanaan projek berkenaan melibatkan Pakej 1 serta Pakej 2 di Sungai Jementah.
"Saya turun meninjau sendiri status terkini Projek Rancangan Tebatan Banjir RTB Sungai Muar Fasa 3 Pakej 1 serta lokasi kedua bagi RTB Sungai Muar Fasa 3 Pakej 2 di Sungai Jementah," kata kenyataan itu.
Kata Yunes, tinjauan tersebut penting bagi memastikan maklumat tepat dapat disalurkan kepada rakyat, khususnya penduduk yang sering terkesan setiap kali musim tengkujuh.
Menurut kenyataan itu, projek berskala besar berkenaan melibatkan kos keseluruhan hampir RM559 juta dengan jajaran sepanjang 25 kilometer dan dijangka siap pada Julai 2029.
"Bagi RTB Sungai Muar Fasa 3 Pakej 1, projek ini melibatkan kos keseluruhan RM558,983,000 dengan jajaran projek sepanjang 25 kilometer dan status terkini menunjukkan lebih 35 peratus telah terlaksana," katanya.

Skop projek merangkumi kerja pembersihan tapak, kerja tanah, pelebaran serta pendalaman sungai, pembinaan benteng dan struktur outlet, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 22,000 penduduk di beberapa kawasan termasuk Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh dan Kampung Chodan.
Dalam masa sama, katanya, projek RTB Sungai Muar Fasa 3 Pakej 2 di Sungai Jementah yang dijadual siap pada 2029 berpotensi disiapkan lebih awal sekitar 2027 sekiranya kerja-kerja berjalan lancar.
"Pihak kontraktor sedang berusaha mempercepatkan kerja-kerja di tapak dan sekiranya semuanya berjalan lancar, projek ini berpotensi untuk disiapkan lebih awal sekitar tahun 2027," katanya.
Mengulas lanjut, Yuneswaran berpuas hati terhadap kemajuan kerja di tapak hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi teknikal dan kontraktor.
"Sepanjang tinjauan, saya berpuas hati melihat persiapan, penerangan pihak kontraktor serta kerja-kerja di tapak berjalan lancar seperti yang direncanakan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan terhadap isu banjir di Segamat, termasuk pengumuman peruntukan bagi projek tersebut selepas bencana besar pada 2023.
"Ini bukan sekadar projek infrastruktur. Ini adalah ikhtiar besar untuk melindungi nyawa, harta benda dan masa depan rakyat Segamat daripada bencana banjir yang berulang saban tahun," katanya lagi.




Comments