Program jualan subsidi tong sas Parlimen Segamat kembali
- 1 hour ago
- 1 min read

Program Jualan Subsidi Tong Gas sempena Tahun Baharu Cina Parlimen Segamat kembali bagi siri keenam dan terus mendapat sambutan hangat masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran berkata, inisiatif yang dicetuskan beliau sejak 2024 itu diteruskan bagi tahun pertama 2026 dengan pelaksanaan di Kampung Abdullah, Segamat.

Menurutnya, lebih 400 tong gas memasak 14 kilogram dijual pada harga RM10 sebiji, dengan lebih separuh kos subsidi ditanggung sendiri oleh beliau.
"Pendaftaran kupon dibuka sejak Isnin selama tiga hari di pejabat kami sebelum ditebus pada Sabtu melalui kaedah pandu lalu (drive-thru), memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan dengan cepat dan teratur," katanya dalam satu kenyataan.
Kaedah tersebut kata beliau memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan tanpa kesesakan.
"Pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan bangsa memanfaatkan penjimatan ini, apatah lagi bersempena sambutan Tahun Baharu Cina dan persiapan awal Ramadan," ujarnya.
Yuneswaran turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan Dewan Serbaguna Kampung Abdullah, anggota RELA, para petugas, syarikat gas selaku vendor serta KRT Kampung Abdullah atas kerjasama menjayakan program berkenaan.





