top of page

'Profesor pro-Zionis semak dulu fakta penindasan Israel' - Raja Bahrin



Oleh: Abdullah Zaid


Pengerusi Biro Politik AMANAH, Datuk Raja Bahrin Shah membidas dakwaan profesor pro-Zionis Bruce Gilley yang menuduh pemimpin Malaysia menganjurkan ‘pembunuhan beramai-ramai terhadap masyarakat Yahudi’ di Universiti Malaya, baru-baru ini.


Katanya, kenyataan pensyarah Sains Politik Universiti Negeri Portland itu tidak boleh diterima memandangkan Amerika Syarikat (AS) pada ketika ini terus membantu membekalkan bom dan senjata kepada Israel yang telah membunuh lebih dari 34,000 Palestin sejak Oktober 2023.


"Amerika dan warganya, seperti ahli akademik AS Bruce Gilley, tidak mempunyai hak atau ketinggian moral untuk datang ke Malaysia untuk memberi kuliah kepada kita tentang moraliti apa yang betul atau salah dalam dunia hari ini," katanya dalam satu kenyataan.


Malah, jelasnya, negara ‘Uncle Sam’ itu kehilangan semua kredibiliti dan sikap kemanusiaan dengan menyokong Israel melalui bantuan kewangan untuk terus membunuh rakyat Gaza terutamanya wanita dan kanak-kanak.


"Jadi siapakah individu ini dan atas dasar apa Bruce Gilley ini mengajar kita tentang apa yang betul atau salah mengingatkan pada keadilan yang terpesong dan rosak di Gaza oleh AS.


"Dia menuduh pemimpin Malaysia bercakap tentang Holocaust kedua yang dikatakan terhadap orang Yahudi tetapi mengabaikan liputan televisyen media utama mengenai pembunuhan berterusan harian sebenar dengan bom buatan hadiah AS terhadap kanak-kanak Palestin, orang tua, dan wanita," ujarnya.


Dalam pada itu, Raja Bahrin juga membidas pandangan pihak tertentu yang menyokong pandangan profesor pro-aparteid itu untuk meneliti semula sejarah perjuangan tokoh Martin Luther King dan Malcolm X menentang sistem diskriminasi yang berlaku di Amerika Syarikat.


Bahkan kata Raja Bahrin, golongan berkenaan ‘disarankan’ pergi ke Israel dan melihat sendiri bagaimana sistem aparteid dan pengusiran beramai-ramai terhadap rakyat Palestin digerakkan oleh Israel dan sekutu kuatnya Amerika Syarikat.


"Tiada siapa yang lebih buta daripada mereka yang enggan melihat dan mengakui kenyataan yang berlaku hari ini," katanya lagi.


Kelmarin, tular di media sosial Gilley yang dijemput sebagai panel program di Universiti Malaya menuduh pemimpin politik Malaysia kononnya menganjurkan holocaust atau pembunuhan beramai-ramai kedua terhadap masyarakat Yahudi.


Melalui perkongsian di laman sosial X, Gilley bagaimanapun telah memadam perkongsian berkenaan selepas menerima kecaman daripada warga maya sebelum memaklumkan bahawa dirinya telah meninggalkan Malaysia semalam.


Susulan itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengarah pihak Universiti Malaya memberi penjelasan dan siasatan segera berkaitan perkara berkenaan.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page