PRN, PRU Johor berasingan bebankan rakyat, pembaziran masa berpolitik
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 2 min read

Cadangan menganjurkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 tidak wajar disokong kerana pelbagai faktor yang merugi dan menyukarkan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern berkata, PRN dan PRU bagi Johor sewajarnya dianjurkan secara serentak.
Katanya, pandangan tersebut disuarakan bukan atas kepentingan politik sebaliknya berlandaskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat untuk memastikan kepentingan rakyat Johor terus diutamakan.
"Sebagai ADUN pengimbang, tanggungjawab saya adalah memastikan suara rakyat didengari dengan jelas dalam setiap keputusan besar yang melibatkan masa depan negeri ini," kata Arthur Chiong dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sekiranya PRN Johor diadakan pada waktu berbeza beberapa implikasi besar perlu dipertimbangkan, termasuk kos kewangan yang tinggi kepada negara dan negeri.

"Setiap pilihanraya memerlukan perbelanjaan yang besar melibatkan logistik, keselamatan, tenaga kerja, serta pengurusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Mengadakan dua pilihanraya pada masa yang berasingan bermakna kos ini perlu ditanggung dua kali. Dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar bagi ramai rakyat, persoalan yang perlu kita tanyakan ialah adakah ini penggunaan sumber yang paling wajar?" soalnya.
Manakala, kata beliau, pilihanraya yang terlalu kerap dalam tempoh singkat boleh menjejaskan fokus pentadbiran kerajaan terhadap pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
"Apabila pilihanraya berlaku terlalu kerap dalam tempoh yang singkat, perhatian kerajaan sering teralih kepada persiapan politik dan kempen, sedangkan rakyat lebih memerlukan tumpuan kepada isu ekonomi, peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur serta kesejahteraan sosial," ujarnya.
Selain itu, Ketua Biro Ekonomi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor itu berkata situasi tersebut juga berpotensi menyebabkan keletihan politik dalam kalangan rakyat.
"Rakyat hari ini berdepan dengan cabaran kos sara hidup. Mengadakan pilihanraya berulang dalam tempoh singkat menyebabkan keletihan politik, di mana rakyat terpaksa kembali ke proses pengundian sekali lagi dalam masa yang tidak jauh berbeza," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan mengadakan PRN dan PRU pada hari yang sama boleh menjadi pilihan lebih efisien serta membantu mewujudkan kestabilan politik di negeri Johor.
Arthur Chiong turut menyeru Kerajaan Negeri supaya mempertimbangkan secara serius kepentingan rakyat sebelum membuat sebarang keputusan mengenai tarikh PRN.
"Ini bukan soal siapa yang menang atau kalah dalam pilihanraya, tetapi bagaimana kita memastikan proses demokrasi dijalankan secara bertanggungjawab, efisien dan menghormati keadaan rakyat hari ini," katanya.
Untuk rekod, penggal pentadbiran kerajaan Johor akan berakhir pada April 2027 dan PRN sebaik baiknya diadakan pada penghujung 2026.
Manakala terdapat ura ura PRU juga akan diadakan lebih awal pada peghujung tahun ini dan tidak menunggu sehingga tamat penggal pada 2027.




Comments