Libat urus pakar bincang pindaan lantik ADUN tambahan Johor - Dr Zaliha
- Helmi Mohd Foad

- 4 days ago
- 2 min read

KEADILAN Johor tidak bersetuju dengan cadangan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (Bahagian Kedua) (Pindaan) 2026 berhubung pelantikan tidak melebihi lima orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tambahan yang dikemukakan tanpa proses libat urus mencukupi dan menyeluruh.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata, cadangan tersebut menimbulkan persoalan asas terhadap prinsip perwakilan demokratik.
"Sebarang perubahan kepada komposisi Dewan Negeri perlu dilaksanakan dengan penuh kebertanggungjawaban serta mengambil kira implikasi jangka panjang terhadap keseimbangan kuasa dan integriti institusi legislatif.
"KEADILAN Johor berpandangan bahawa pengenalan wakil yang tidak melalui proses pilihanraya, tetapi diberikan hak mengundi setara dengan ADUN yang dipilih oleh rakyat berpotensi menimbulkan persepsi ketidakseimbangan dalam mandat demokrasi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Zaliha yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) berkata, cadangan itu memerlukan penelitian yang lebih mendalam agar tidak menjejaskan keabsahan institusi Dewan Negeri.
Selain itu, katanya ketiadaan garis panduan yang jelas berhubung kelayakan, peranan dan kriteria pelantikan membuka ruang kepada tafsiran yang pelbagai.
"Tanpa kerangka merit yang telus sama ada berasaskan kepakaran, representasi komuniti atau keperluan dasar, cadangan ini berisiko menimbulkan persepsi bahawa pelantikan dibuat tanpa asas objektif yang kukuh," ujarnya.
Sehubungan itu, KEADILAN Johor menggesa Kerajaan Negeri Johor menangguhkan cadangan pindaan itu bagi memberi ruang kepada proses libat urus yang inklusif termasuk melibatkan wakil rakyat, pakar perlembagaan, masyarakat sivil serta Bangsa Johor secara keseluruhan.
Katanya lagi sekiranya pelantikan itu bertujuab untuk memperkukuh fungsi Dewan Negeri, mekanisme yang lebih telus dan bebas perlu diwujudkan.
Ini termasuk memastikan wakil yang dilantik benar-benar membawa nilai tambah melalui kepakaran tertentu atau mewakili segmen masyarakat yang tidak terwakili dalam proses politik semasa, katanya.
Dalam hal ini, Zaliha menekankan Kerajaan Negeri wajar memastikan setiap langkah pembaharuan institusi dilaksanakan dengan penuh kejelasan, ketelusan dan kebertanggungjawaban agar keyakinan Bangsa Johor terhadap sistem demokrasi terus terpelihara.
"Sebagai parti yang konsisten mendukung agenda reformasi institusi, KEADILAN Johor terus berpegang kepada prinsip memperkukuh demokrasi, menjunjung integriti institusi serta memastikan suara sebenar Bangsa Johor kekal sebagai asas utama dalam pembentukan dasar dan perundangan negeri," jelas beliau.




Comments