Pemulangan karya seni 1MDB lambang kejayaan pemulihan aset negara — MCW
- Helmi Mohd Foad

- 3 hours ago
- 2 min read

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan kejayaan membawa pulang empat karya seni antarabangsa yang dikaitkan dengan skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai simbol penting keberkesanan usaha pemulihan aset negara.
Presidennya, Jais Abdul Karim merakamkan penghargaan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki serta seluruh pasukan suruhanjaya tersebut atas pencapaian berkenaan.
“Ini bukan sekadar pemulangan aset fizikal bernilai tinggi tetapi simbol bahawa usaha memburu aset yang diseleweng boleh dilakukan secara konsisten, profesional dan berlandaskan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pencapaian pemulihan aset 1MDB sebanyak RM31.3 bilion atau kira-kira 74.5 peratus daripada keseluruhan dana yang diseleweng merupakan satu kejayaan besar.
“Dalam konteks jenayah kewangan berskala global, kadar pemulihan ini antara yang tertinggi di dunia dan membuktikan bahawa Malaysia tidak pernah berhenti menuntut kembali hak rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, proses pemulangan aset bukan sesuatu yang mudah kerana melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi antarabangsa seperti Federal Bureau of Investigation dan United States Department of Justice.
Dalam pada itu, MCW menyifatkan langkah menempatkan karya seni tersebut di bawah pengawasan Balai Seni Negara sebagai tindakan tepat bagi memastikan aset berkenaan dipelihara sebagai sebahagian daripada sejarah negara.
Beliau turut menegaskan bahawa skandal 1MDB bukan sekadar melibatkan kehilangan wang, malah memberi kesan besar terhadap imej negara, keyakinan pelabur serta integriti institusi awam Malaysia.
Sehubungan itu, MCW menggesa agar momentum pemulihan aset diteruskan secara agresif termasuk usaha membawa pulang baki aset yang masih berada di luar negara.
Dalam pada itu, beliau menekankan keperluan reformasi institusi secara menyeluruh bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Antara cadangan termasuk memperkukuh mekanisme semak dan imbang, meningkatkan ketelusan dana awam, memperkasakan perlindungan pemberi maklumat serta mempercepat reformasi pembiayaan politik.
“Setiap sen yang dicuri daripada rakyat mesti dikesan, dipulangkan dan dipertanggungjawabkan,” tegasnya.
Tegas beliau, pemulangan aset bukan sekadar soal kewangan, tetapi juga usaha mengembalikan maruah negara, keyakinan rakyat dan integriti institusi Malaysia.
Terbaharu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam baki berkata, suruhanjaya itu kini dalam proses mendapatkan semula lapan lagi karya seni yang dikaitkan dengan skandal 1MDB bernilai lebih RM120 juta selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Azam berkata, karya seni itu membabitkan Henri Matisse bernilai AS$52,500; Alexander Calder (AS$125,000); Pablo Picasso (AS$1.265 juta); William H. Bailey (AS$66,250); Raoul Dufy (AS$40,000); serta Salvador Dalí dan Gustave Loiseau yang nilainya masih dalam proses pengesahan.
Nilai semua hasil seni ternama itu kira kira RM6.9 juta.
Beliau juga berkata, SPRM giat mendapatkan semula hasil jualan lukisan Claude Monet berjudul Vétheuil au Soleil, yang dijual di Switzerland pada harga kira-kira EUR25.2 juta atau sekitar RM114 juta.




Comments