top of page

Allahyarham Jalil Hamid wajar diberi pengiktirafan negara - AMANAH

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 4 days ago
  • 2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan pemergian seniman tersohor, Jalil Hamid sebagai satu kehilangan besar kepada dunia seni tanah air dan rakyat Malaysia keseluruhannya.


Pengerusi Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim (gambar) berkata Allahyarham bukan sekadar pelakon, tetapi seorang penghibur serba boleh yang meninggalkan kesan mendalam merentasi pelbagai generasi.


"Allahyarham bukan hanya dikenali melalui lakonan yang dekat dengan jiwa masyarakat, malah memiliki bakat luar biasa sebagai penyanyi, pelawak dan penghibur yang berjaya membentuk identiti tersendiri dalam industri hiburan tempatan," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, keupayaan Allahyarham menghidupkan watak, mencuit hati rakyat dengan humor bersahaja serta menyampaikan lagu dengan penuh emosi menjadikan beliau antara ikon seni yang sukar diganti.


Tambahnya, tidak ramai anak seni yang mempunyai pengaruh merentas masa seperti Allahyarham, dengan karya dan karakter lakonan yang masih kekal diingati sehingga hari ini.


"Banyak karya dan karakter lakonan beliau masih kekal diingati sehingga hari ini kerana ia lahir daripada bakat yang tulen, keikhlasan berkarya dan jiwa seni yang dekat dengan rakyat biasa," ujarnya.


Sehubungan itu, beliau berkata AMANAH memohon agar kerajaan mempertimbangkan satu bentuk pengiktirafan atau anugerah khas negara sebagai penghormatan terhadap jasa dan sumbangan besar Allahyarham kepada industri seni dan budaya.


"Pengiktirafan ini bukan sekadar simbol penghormatan kepada individu, tetapi juga mesej bahawa negara menghargai seniman yang telah membentuk memori kolektif rakyat dan memperkayakan identiti budaya Malaysia," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa legasi Allahyarham merupakan khazanah emosi bangsa yang akan terus hidup dalam ingatan rakyat.


"Beliau bukan sekadar seorang artis, tetapi sebahagian daripada nostalgia rakyat Malaysia betapa suara, wajah dan jenaka yang membesar bersama kehidupan masyarakat," katanya.


Menurutnya, walaupun pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara, karya dan jasanya akan terus dikenang untuk tempoh yang panjang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page