PRN NS: Bimbang politik identiti kaum, agama makin menular - Dr Mujahid
- Redzuan Shamsudin
- 5 hours ago
- 2 min read

Kemenangan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kelmarin disifatkan sebagai petunjuk bahawa politik identiti kaum dan agama mengatasi politik nilai rentas kaum serta agama yang dibawa Pakatan Harapan (PH) selama ini.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata keputusan itu menunjukkan pengundi Negeri Sembilan lebih dipengaruhi emosi dan sentimen kaum berbanding penilaian terhadap prestasi serta pencapaian kerajaan.
"Tahniah kepada para pengundi di Negeri Sembilan kerana telah membuat pilihan anda membentuk kerajaan baharu Negeri Sembilan.
"Kemenangan gabungan PN-BN di Negeri Sembilan adalah petunjuk kepada kemenangan politik identiti kaum ke atas politik nilai rentas berbagai kaum dan agama yang dibawa oleh PH. Pengundi Negeri Sembilan memilih emosi dan sentimen kaum dari prestasi dan pencapaian sebagai tanda aras sokongan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Mujahid berkata pihaknya tetap menghormati keputusan pengundi, cuma melahirkan kebimbangan terhadap kesan politik berasaskan identiti kaum dan agama yang sempit terhadap kestabilan serta perpaduan negara.
"Sementara kita menghormati pilihan pengundi, kita juga melahirkan kebimbangan bahawa parti-parti yang membawa naratif politik beridentitikan kaum dan agama sempit berpotensi membawa risiko kepada suasana politik menjadi semakin meruncing.
"Ketidakpercayaan dan kebencian antara kaum dan agama akan semakin melebar justeru menjejaskan kestabilan dan perpaduan yang merupakan kunci kepada kemakmuran negara," katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan BN yang bekerjasama dengan PN dalam PRN Negeri Sembilan, sedangkan BN merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
"Mesej politik kepada rakyat menjadi lebih keliru apabila BN yang merupakan sebahagian komponen Kerajaan Perpaduan telah bersekongkol dengan pembangkang dari PN tetapi menggunakan kelebihan kedudukan mereka sebagai menteri dan lain-lain kedudukan rasmi untuk berkempen di Negeri Sembilan," katanya.
Mujahid yang juga Pengarah Induk Pilihanraya AMANAH menyifatkan tindakan BN berkenaan sebagai sesuatu yang dikesali kerana parti itu membahagikan kerusi dengan PN bagi menewaskan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan yang dibentuk sebelum PRN.
"PH harus sedar bahawa cita-cita perpaduan yang diharapkan bersama BN telah dirampas oleh cita-cita ketuanan Melayu-Islam yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) dan demi kuasa, BN sanggup meninggalkan cita-cita melihat Malaysia tanpa prejudis dan kebencian kaum-agama," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata keputusan PRN Negeri Sembilan menjadi isyarat bahawa PH untuk melalui laluan mencabar sekiranya mahu terus memperjuangkan politik berasaskan nilai.
Sehubungan itu, Mujahid menggesa PH mulai detik ini melakukan muhasabah dan mengenal pasti kelemahan parti selain membina kekuatan baharu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
"Apakah akan berlaku pensejajaran semula untuk memenangkan politik nilai daripada politik perkauman? Pakatan Harapan harus bermuhasabah ke dalam dan mencari di mana kelemahannya, sementara pada waktu yang sama mereka juga perlu membina kekuatan baharu untuk menggerakkan momentum bagi pilihan raya umum yang akan datang," katanya.
