top of page

PRN : Mengapa PH Perlu Diberi Peluang Sebagai Kerajaan

  • Writer: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
    Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
  • 18 hours ago
  • 3 min read

ULASAN: Penentuan pembentukan kerajaan Negeri Johor selepas tamat Pilihanraya Negeri (PRN) pada tanggal 11 Julai 2026 nanti menyaksikan persaingan antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN).


Gabungan politik lain setakat sekarang dilihat bukanlah pesaing serius yang mahu mentadbir Negeri Johor selepas PRN nanti. Hujahnya dapat dilihat melalui jumlah kerusi yang ditandingi oleh setiap gabungan politik, hanya PH dan BN sahaja yang bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan cita-cita untuk membentuk kerajaan selepas PRN.


Persaingan ini memberi isyarat bahawa gabungan politik lain tidak berminat menjadi kerajaan di Negeri Johor, mereka lebih berminat menjadi pembangkang selepas PRN ini tamat. Justeru rakyat Negeri Johor wajar mempertimbangkan tawaran oleh PH dalam menentukan kerajaan yang bakal memerintah di Negeri Johor, tawaran selain dari itu adalah tidak releven kerana tidak dapat dilaksanakan sebagai pembangkang.


Pengundi belia, remaja


Penentuan kemenangan PRN Johor ini akan ditentukan oleh pengundi belia yang berumur 18 hingga 30 tahun, golongan ini yang berjumlah sekitar 25% daripada keseluruhan pengundi PRN Johor adalah sangat signifikan untuk menentukan pemerintah kerajaan Negeri.


Dr. Mohd. Fauzi Hj. Fadzil
Dr. Mohd. Fauzi Hj. Fadzil

Kajian yang dilakukan dalam bidang sains politik membuktikan bahawa golongan belia tidak terikat dengan kesetiaan terhadap mana-mana parti politik, justeru undi mereka sangat mudah berubah kepada mana-mana pihak bergantung kepada calon yang memenuhi kehendak yang mereka inginkan.


Institut Darul Ehsan (IDE) melalui kajian mereka mendapati pengundi belia adalah berbeza berbanding pengundi dewasa dan warga emas kerana mereka lebih cenderung memilih calon berbanding parti politik. Melihat kepada kecenderungan ini maka PH adalah pilihan yang sangat sesuai untuk pengundi belia di Negeri Johor.


PH menawarkan calon yang sangat dekat dengan citra belia Johor dalam PRN kali ini apabila meletakkan calon-calon yang hampir seimbang dengan taburan demografi Johor iaitu 36 calon Melayu (64.3%), 16 calon Cina (28.6%) dan 4 calon India (7.1%).


Penyusunan calon oleh PH sangat dekat dengan pengundi belia yang sangat tidak menyukai politik yang berasaskan perkauman. Citra Johor yang diketengahkan oleh PH ini juga sangat bijak kerana lebih separuh (30 kerusi) DUN di Negeri Johor dikategorikan sebagai kerusi campuran, justeru pedekatan yang digunakan oleh PH sepatutnya mampu menarik pengundi belia yang melihat kepada calon yang mempunyai kepelbagaian latarbelakang.


Calon wanita berkaliber


PH juga sangat berani untuk mengetengah calon wanita paling ramai dalam PRN kali ini berbanding gabungan politik lain, sejumlah 13 orang (23%) calon wanita diberikan kepercayaan oleh PH sebagai calon.


Komitmen ini seiring dengan semangat dan pemikiran golongan belia pada masa kini yang terbuka untuk mengangkat kedudukan dan fungsi golongan wanita setaraf dengan golongan lelaki dalam kepimpinan. PH sangat berbeza dengan dengan gabungan politik lain yang menafikan, malah meremehkan sumbangan golongan wanita untuk membangunkan sesebuah bangsa sebagai pemimpin.


PH pernah meletakkan seorang wanita sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, tidak mustahil untuk PH meletakkan seorang calon wanita sebagai Menteri Besar Johor sekiranya diberikan peluang.


King Maker PRU Johor


Seharusnya golongan belia yang bakal menjadi ‘King Maker’ dalam PRN Johor kali ini mula mempertimbangkan dengan sedalamnya, gabungan politik mana yang benar-benar serius mengangkat citarasa anda untuk mentadbir Negeri Johor.


PH merupakan gabungan politik menawarkan paling ramai calon belia berbanding gabungan lain. Calon-calon yang ditawarkan oleh PH mempunyai pemikiran dan latarbelakang yang sama dengan pengundi belia di Negeri Johor, justeru memilih calon selain PH adalah manifestasi kepada pemikiran lama yang mengenepikan fungsi dan kepentingan belia dalam pentadbiran.


Golongan belia harus sedar dan menolak pemikiran kolot, golongan belia harus memilih PH demi memberi isyarat jelas bahawa zaman baru penglibatan belia dalam kepimpinan dan pentadbiran Negeri Johor sudah bermula.

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor



Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page