PRN Melaka: Prinsip keadilan perlu jadi asas perjuangan - Dr Wan Azizah


Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu prinsip keadilan perlu terus menjadi asas perjuangan parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Menurutnya, perjuangan parti tersebut bukan sekadar untuk mendapatkan kuasa politik, sebaliknya bagi memastikan setiap rakyat di negara ini mendapat hak dan layanan yang adil.
"Kita mahukan setiap rakyat Malaysia mendapat keadilan. Itu kita bawa dalam parti kita, dalam semangat kita," katanya dipetik laporan media.
Dr Wan Azizah yang juga Isteri Perdana Menteri sebelumnya hadir merasmikan Majlis Apresiasi Wanita KEADILAN Melaka dan Pelancaran Jentera Wanita KEADILAN di Bandaraya Melaka pada Ahad.
Turut hadir Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin dan Ketua Wanita KEADILAN Melaka, Mahani Masban.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah menyeru semua anggota parti itu terus berpegang kepada prinsip perjuangan parti meskipun berdepan pelbagai cabaran, termasuk tindakan segelintir anggota yang memilih meninggalkan parti.
Pengalaman panjang parti itu menurutnya menunjukkan perubahan politik memerlukan usaha berterusan, kesungguhan dan kekuatan anggota di semua peringkat.
"Perjuangan ini bukan sesuatu yang mudah. Kita sudah melalui pelbagai cabaran dan kita perlu teruskan usaha dengan semangat yang sama," katanya.
Beliau juga berharap Wanita KEADILAN Melaka terus memperkukuh gerak kerja akar umbi dan mendekati pengundi, selain berharap sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan calon pada PRN Melaka terdiri daripada kaum wanita.




@FNF Seruan Dr Wan Azizah supaya sekurang-kurangnya 30 peratus calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terdiri daripada wanita telah menarik perhatian saya. Adakah PKR telah menetapkan bagaimana sasaran itu akan dilaksanakan semasa menentukan kawasan pilihan raya yang akan ditandingi serta calon wanita yang akan diketengahkan?