PRN Melaka: Pilih calon mampu kerjasama dengan Persekutuan - PM


Pengundi Melaka diseru memberikan mandat kepada calon yang mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan bijak itu penting bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negeri itu.
Tambahnya, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Pusat juga penting bagi memastikan pelbagai inisiatif serta bantuan diperkenalkan Kerajaan Madani untuk rakyat dapat diteruskan dan diperkasakan.
"Kalau adik kakak, saudara mara di sini mahu kita lakukan lebih baik, bagi kerjasama. Jadi orang di depan hari ini, dulu yang paling banyak untuk kita…. sekolah anak, klinik dan perubatan ibu bapa, pendapatan kita, SARA kita, STR kita, elaun sekolah anak-anak kita.
"Yang ini yang bagi saya penting, kita dah mulakan (pelbagai bantuan) bagi peluang saya teruskan itu sahaja…saya minta Klebang dan seluruh Melaka faham, kita minta mandat ini untuk lakukan sesuatu," katanya.
Anwar yang Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata begitu pada Program Jelajah Aspirasi MADANI Negeri Melaka di Bukit Rambai, Klebang semalam.
Sementara itu beliau turut menyeru pengundi menilai prestasi kerajaan berdasarkan usaha dan tindakan yang telah dilaksanakan, bukannya bergantung kepada janji politik semata-mata.
Kerajaan MADANI jelasnya membuktikan keupayaannya menarik pelaburan berskala besar yang berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat, khususnya golongan muda.
Pelbagai bentuk bantuan turut disalurkan kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta bantuan RM200 kepada pelajar bagi membuat persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu.
"Kerajaan juga membelanjakan kira-kira RM40 bilion setahun bagi menampung subsidi minyak bagi memastikan rakyat terus menikmati harga bahan api yang lebih rendah," tambahnya.




Comments