Isu masyarakat Orang Asli keutamaan HARAPAN - Ginie


Kebajikan, pengiktirafan hak tanah adat serta pemeliharaan warisan budaya masyarakat Orang Asli terus menjadi agenda pembangunan Pakatan Harapan (HARAPAN), khususnya di kawasan DUN Machap Jaya yang menempatkan komuniti Orang Asli di Melaka.
Calon HARAPAN DUN Machap Jaya, Datuk Ginie Lim berkata, kawasan itu mempunyai tujuh daripada keseluruhan 14 kampung Orang Asli di Melaka, sekali gus menjadikan kepentingan komuniti berkenaan antara perkara yang perlu diberikan perhatian dalam pembangunan setempat.
Beliau berkata, masyarakat Orang Asli bukan sekadar sebahagian daripada kepelbagaian penduduk Machap Jaya, malah peranan, sumbangan dan kebudayaan mereka perlu diiktiraf serta dipelihara.
"Kita ada tujuh kampung Orang Asli di sini. Ada kawan-kawan Orang Asli di sini. Kita raikan mereka bersama," katanya katanya pada Majlis Sambutan Sinar Deepavali MADANI di Dewan Besar Kampung Permal, Machap Umboo, malam tadi.
Menurutnya, usaha mengiktiraf masyarakat Orang Asli pernah dilaksanakan ketika HARAPAN membentuk kerajaan negeri pada 2018 menerusi penganjuran sambutan Hari Orang Asal Sedunia peringkat negeri Melaka di Taman Po'atiam.
Katanya, program itu bertujuan memberikan pengiktirafan terhadap kedudukan masyarakat Orang Asli, termasuk peranan, sumbangan dan kebudayaan mereka.
"Apabila kita menjadi kerajaan negeri pada 2018, kita pernah menganjurkan sambutan Hari Orang Asal Sedunia peringkat negeri Melaka disini untuk mengiktiraf peranan, sumbangan dan kebudayaan mereka," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata inisiatif berkenaan tidak dapat diteruskan selepas perubahan pentadbiran negeri, sedangkan usaha mengangkat kepentingan komuniti Orang Asli memerlukan perhatian dan kesinambungan.
Ginie berkata Machap Jaya mempunyai komposisi masyarakat yang pelbagai, termasuk dua kawasan Kampung Baru Cina, tiga kawasan FELDA dan tujuh kampung Orang Asli.
Dalam aspek hak tanah pula, Ginie yang pernah menjadi Exco Melaka berkata, beliau sentiasa memperjuangkan kepentingan masyarakat Orang Asli, termasuk berkaitan tanah adat sepanjang tempoh 22 bulan menjadi Exco Kerajaan Negeri Melaka.
"Perjuangan terhadap masyarakat Orang Asli perlu dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab memastikan pembangunan negeri turut mengambil kira kepentingan semua kelompok masyarakat, tanpa meminggirkan komuniti yang mempunyai identiti dan warisan tersendiri," katanya lagi.




Comments