top of page

Anwar: Deepavali wadah semarak perpaduan, hormati tradisi masyarakat India

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
14 minutes ago
2 min read
DS Anwar berucap pada Majlis Sambutan Sinar Deepavali MADANI di Dewan Besar Kampung Permal, Machap Umboo, Melaka, malam tadi
DS Anwar berucap pada Majlis Sambutan Sinar Deepavali MADANI di Dewan Besar Kampung Permal, Machap Umboo, Melaka, malam tadi

Sambutan Deepavali perlu menjadi wadah memperkukuh perpaduan rakyat serta menyemai rasa hormat terhadap tradisi dan budaya masyarakat India sebagai sebahagian daripada keluarga besar Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata, perayaan Deepavali bukan sekadar sambutan keagamaan masyarakat Hindu, sebaliknya membawa mesej perjuangan antara kebaikan dan kejahatan yang mempunyai nilai sejagat untuk dihayati seluruh rakyat.


Menurutnya, simbolik cahaya dalam perayaan itu melambangkan kebenaran, keadilan dan kebaikan yang mengatasi kegelapan, sekali gus menjadi pengajaran penting dalam membina masyarakat yang harmoni.


"Maknanya gelap itu forces of evil dan cahaya itu forces baik dan kebenaran. Dan keadilan.


"Jadi bila kita sambut sama-sama, kita sambut dengan semangat itu. Pertama, memuliakan tradisi orang-orang India, orang-orang Hindu. Hormat amalan mereka," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Sinar Deepavali MADANI di Dewan Besar Kampung Permal, Machap Umboo.


Anwar turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan KEADILAN Melaka yang mengambil inisiatif menganjurkan sambutan berkenaan sebagai usaha meraikan masyarakat India dan mengukuhkan hubungan antara kaum.


Katanya, semangat saling menghormati perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian, termasuk dengan memahami serta meraikan perayaan dan tradisi masyarakat berlainan kaum.


Beliau memberi contoh bagaimana masyarakat Melayu, Cina dan India boleh bersama-sama meraikan perayaan masing-masing dengan menghormati amalan serta pantang larang agama dan budaya setiap kaum.


"Kita ada Melayu, Cina, India duduk kumpul di sini. Duduk baik-baik," katanya.


Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa masa depan Malaysia bergantung kepada keupayaan rakyat mempertahankan keharmonian dan memastikan setiap kaum mendapat tempat sewajarnya dalam pembangunan negara.


Beliau berkata, perbezaan kaum dan budaya tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk memecahbelahkan rakyat, sebaliknya perlu diraikan sebagai kekuatan dalam membina sebuah negara yang aman dan bersatu.


"Mesti jaga Melayu. Mesti jaga Cina. Mesti jaga India, Iban, Kadazan baru selamat ini negara," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page