top of page

Anwar: Masalah negara bukan kaum, tetapi rasuah

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
7 minutes ago
2 min read
DS Anwar meyakinkan komuniti India betapa pentingnya tadbir urus baik, anti rasuah mentadbir negeri, negara
DS Anwar meyakinkan komuniti India betapa pentingnya tadbir urus baik, anti rasuah mentadbir negeri, negara

Masalah utama negara bukanlah perbezaan kaum, sebaliknya rasuah, penipuan dan penyelewengan yang mengakibatkan kerugian besar kepada rakyat, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata, rakyat tidak seharusnya terus terperangkap dalam politik perkauman sehingga mengabaikan isu sebenar yang menjejaskan masa depan dan kesejahteraan negara.


"Masalah Melayu bukan Cina. Masalah Cina bukan India. Masalah kita ini corruption. Masalah kita tipu, curi," katanya pada Majlis Sambutan Sinar Deepavali MADANI di Dewan Besar Kampung Permal, Machap Umboo, DUN Machap Jaya.


Anwar berkata, usaha menyelamatkan negara memerlukan rakyat menilai kepimpinan berdasarkan prinsip, integriti dan tanggungjawab, bukannya terpengaruh dengan sentimen kaum atau pemberian ketika musim pilihan raya.


Beliau menggunakan analogi seorang murid yang dimarahi ibu bapanya kerana mencuri sebatang pen bernilai RM2, tetapi pada masa sama masyarakat seolah-olah boleh menerima pemimpin yang mencuri wang berbilion ringgit.


"Kalau anak curi satu pen saja, RM2, ibu dia marah. Sebab salah.


"Ini kita mahu angkat pemimpin yang curi bilion-bilion ringgit. Apa kita belajar? Apa kita belajar di rumah, di sekolah? Mana agama kita? Mana rule kita?" soalnya.


Menurutnya, sikap tegas terhadap rasuah perlu menjadi prinsip bersama kerana penyelewengan wang negara akhirnya menyebabkan rakyat kehilangan manfaat pembangunan yang sepatutnya dinikmati.


Beliau turut membangkitkan beberapa kes melibatkan institusi dan projek negara, termasuk isu Tabung Haji, FELDA serta projek saluran paip gas di Sabah.


Duit diambil, kerja tidak siap


Menyentuh projek saluran paip gas Sabah, Anwar mendakwa projek bernilai RM9 bilion yang dikaitkan dengan urusan pada 2016 itu mengakibatkan kerugian besar apabila kerja tidak disiapkan.


"Kerja tak siap. Kita hilang maknanya RM7 bilion. Sudah habis," katanya sambil menjelaskan hasil rundingan dengan kerajaan China, kerajaan Malaysia berjaya menyelesaikannya.


Anwar berkata, wang negara yang diselamatkan daripada ketirisan boleh digunakan untuk membiayai keperluan rakyat, termasuk bantuan bersasar dan subsidi.


"Bagaimana kita boleh dapat RM40 bilion untuk tolong bagi minyak RON95 dengan diesel? Dari mana kita boleh dapat?


"Kemudian, RM19 bilion STR, SARA. Dari mana? Kerana kita jimat duit kerajaan," katanya.


Beliau menegaskan bahawa wang kerajaan bukan milik mana-mana pemimpin untuk disalahgunakan, sebaliknya merupakan amanah yang perlu diuruskan demi kepentingan rakyat.


Anwar turut mengingatkan perpaduan negara tidak boleh dibina dengan hanya mengutamakan satu kaum sehingga mengetepikan masyarakat lain.


Katanya, kerajaan mempunyai tanggungjawab membantu masyarakat Melayu dan Bumiputera, namun pada masa sama perlu memastikan masyarakat Cina, India, Iban dan Kadazan turut mendapat perhatian.


"Kita ada dasar untuk tolong Melayu. Boleh terus. Tetapi jaga semua," katanya.


Beliau turut mempersoalkan naratif politik yang mengajak orang Melayu bersatu tetapi tidak menjelaskan kedudukan masyarakat kaum lain dalam gagasan tersebut.


"Sudah menang, ini ketuanan Melayu. Kita mahu pakat perpaduan Melayu, Cina dan India," katanya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page