PRN Melaka: PH tiada runding kerjasama dengan BN, Bersatu


Tiada sebarang perbincangan rasmi diadakan berhubung kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata sebarang bentuk muafakat atau kerjasama politik hanya akan diputuskan di peringkat pimpinan tertinggi.
Mengulas mengenai pertemuan tertutup kedua-dua pihak di sebuah hotel di Melaka pada Isnin, beliau menjelaskan ia sekadar sesi makan malam dan bukan bagi merundingkan kerjasama politik secara rasmi.
"Tiada dibincangkan dengan saya… saya tidak hadir dan tidak ada maklumat mengenai sebarang perbincangan khas berkenaan," katanya dipetik laporan media.
Fahmi ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Pembiayaan Inisiatif Ubat Melalui Pos di Kuala Lumpur semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad memberi gambaran PH tidak akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka yang akan diadakan tidak lama lagi.
Beliau menegaskan, gabungan itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti lain, kecuali BN dan Perikatan Nasional (PN).
Mengulas kemungkinan kerjasama antara PH dan Bersatu, Khalid berkata jika itu berlaku, Bersatu perlu memahami prinsip dibawa PH, yang mementingkan prestasi, akhlak dan nilai.
"Bila kita mahu membentuk kerjasama sebelum pilihan raya, ini antara perkara yang kita bincangkan. Kita ada pilihan dan boleh meletakkan syarat serta penegasan yang sepatutnya," jelasnya.




Comments