top of page

PRN Melaka: PH terima keputusan, akan perbaiki gerak kerja menuju PRU 16

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 day ago
2 min read
Adly (kiri) da;am sidang media ditemani Adam Adli dan  Khoo Poay Tiong
Adly (kiri) da;am sidang media ditemani Adam Adli dan  Khoo Poay Tiong

Pakatan Harapan (PH) menerima secara terbuka keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 selepas memenangi empat daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.


Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, keputusan itu akan dijadikan asas untuk memperkukuh gerak kerja serta memperbaiki prestasi gabungan berkenaan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) pada hujung tahun depan.


Empat kerusi yang dimenangi PH ialah DUN Kota Laksamana, Kesidang, Ayer Keroh dan Bandar Hilir.


"PH menerima keputusan ini dengan terbuka, mandat yang diberikan rakyat negeri Melaka. PH juga menerima keputusan ini sebagai tanggungjawab demokrasi dan asbab memperkukuh gerak kerja kami di hadapan.


"PH percaya keputusan pilihan raya mempunyai dinamik tertentu dan boleh diperbaiki lagi pada masa hadapan," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di Bukit Piatu, Melaka.


Adly turut merakamkan penghargaan kepada semua calon, petugas dan sukarelawan PH yang bekerja keras sepanjang tempoh kempen sehingga hari pengundian.


Beliau mengingatkan semua wakil rakyat yang dipilih supaya melaksanakan amanah dengan berkhidmat kepada seluruh penduduk di kawasan DUN masing-masing tanpa mengira fahaman politik.


Mengulas prestasi PH di Melaka, beliau berkata analisis khusus akan dibawa ke peringkat Majlis Presiden bagi meneliti keputusan pilihanraya itu, termasuk mengambil kira perkembangan politik di Johor dan Negeri Sembilan.


Menurutnya, PH turut mengambil perhatian terhadap keputusan di beberapa kawasan termasuk Bukit Katil yang menyaksikan gabungan itu ketinggalan kira-kira 5,000 undi.


"Macam saya beritahu awal di Bukit Katil, kita ketinggalan sekitar 5,000 dan ia diterjemahkan dalam bentuk undi BN dan PN.


"Keputusan rakyat harus dihormati. Saya pernah berkhidmat di Bukit Katil, saya hormati keputusan rakyat," katanya.


Beliau berkata, PH akan melakukan penambahbaikan bagi menghadapi PRU ke 16.


Katanya, analisis berhubung kecenderungan pengundi, khususnya generasi muda, turut diberi perhatian dalam usaha membina semula keyakinan masyarakat terhadap PH.


"Analisis khusus kita akan buat. Kita tahu ada kecenderungan generasi muda secara tidak langsung, tetapi semua itu saya fikir akan diambil kira bagaimana kita bentuk keyakinan masyarakat pada masa akan datang," katanya lagi.


Adly ditemani oleh Pengerusi MPN KEADILAN Melaka Adam Adli Abd Halim, Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page