PRN Melaka: PH komited pastikan pembangunan masyarakat India


Agenda pembangunan masyarakat India di negeri Melaka akan terus diperkukuh menerusi manifesto 'Aspirasi Melaka Rumah Kita' merangkumi aspek perumahan, peluang ekonomi, kebajikan dan pemilikan hartanah.
Pemimpin India Pakatan Harapan (PH) secara kolektif berkata, komuniti India merupakan bahagian penting daripada pembangunan negeri dan komitmen terhadap komuniti itu perlu diteruskan melalui dasar serta pelaksanaan program bermanfaat.
Menerusi sidang media di Ayer Keroh pada Khamis, mereka menegaskan, pilihan raya bukan sekadar menentukan kerajaan malah mencorak hala tuju pembangunan dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum.
"Kami percaya masyarakat India bukan sekadar kelompok pengundi yang diperlukan ketika pilihan raya tetapi merupakan sebahagian penting daripada rakyat Melaka yang berhak menikmati peluang, kemajuan dan pembangunan secara adil dan saksama
"Kami tampil dengan satu suara, komitmen dan matlamat memastikan suara serta kepentingan masyarakat India terus diberikan perhatian dalam agenda pembangunan negeri," kata mereka.
Pada sidang media tersebut, Pakatan Harapan turut melancarkan secara rasmi versi manifesto Pakatan Harapan dalam bahasa Tamil.
Mereka juga merakamkan penghargaan kepada kepimpinan PH atas kepercayaan yang diberikan kepada dua calon daripada masyarakat India, P Denesh yang bertanding di DUN Asahan dan K Jegasilan di DUN Gadek.




Comments