PRN Melaka: PH fokus bertanding di kerusi berpotensi sahaja - Adly


Pakatan Harapan (PH) Melaka menyifatkan tiada keperluan untuk gabungan itu bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Pengerusinya Adly Zahari (gambar) berkata, PH mempunyai peluang lebih baik untuk menang dengan menumpukan kepada hanya kerusi berpotensi.
Jelasnya, mengambil kira faktor kekuatan jentera, keupayaan calon dan penerimaan pengundi, gabungan itu dijangka akan meletakkan calon di 18 hingga 21 kerusi DUN.
"Saya tak fikir PH akan bertanding semua kerusi. Daripada awal kita sudah tahu kita tidak akan bertanding 28 kerusi, sebaliknya memberi tumpuan pada kerusi yang kita ada kekuatan berdasarkan tiga faktor tadi.
"Kita bertanding di kerusi yang kita rasa ada keupayaan, bermula dengan 18 dan kita akan lihat lagi kerusi yang ada potensi," katanya dipetik laporan media.
Bagaimanapun bekas Ketua Menteri itu menegaskan, jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi hanya akan dimuktamadkan melalui mesyuarat Majlis Presiden PH.
Sementara itu sebagai mengulas mengenai sebarang kerjasama bersama parti lain pada PRN tersebut Adly menjelaskan, PH kini menumpukan fokus untuk menghadapi pilihanraya itu secara bersendirian.
Menurutnya, tiada rundingan dibuat di peringkat negeri berhubung kerjasama itu, sebaliknya hanya membabitkan kerusi akan ditandingi PH.
"Kita tidak bincang kerjasama itu sebaliknya hanya membincangkan mengenai kerusi yang kita akan tandingi, tiada perbincangan khusus, ia hanya dibuat antara parti ke parti," katanya.




Comments