top of page

Kerjasama Umno-Pas mahu rampas kuasa, bukan penyatuan ummah - Penganalisis

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
56 minutes ago
2 min read
Dr Jamaie Hamil. Foto kredit: MalaysiaGazette
Dr Jamaie Hamil. Foto kredit: MalaysiaGazette

Seorang penganalisis politik menjangkakan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pas tidak akan bertahan lama.


Dr Jamaie Hamil dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, kerjasama yang sedang dibina tidak berasaskan kesepakatan politik yang kukuh untuk negara, sebaliknya dilihat hanya bertujuan merampas kuasa dan menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Tambah Pensyarah Program Sains Politik UKM itu, perbezaan kepentingan antara Umno dan Pas juga bakal menyukarkan kedua-dua parti mencapai kesepakatan hala tuju politik, terutama dalam menentukan calon Perdana Menteri.


Menurutnya, Pas berdepan kesukaran menampilkan calon PM yang boleh diterima oleh pelbagai kaum dan pada masa sama, sukar menerima calon daripada Umno yang dikaitkan dengan isu rasuah.


"Pas tidak ada calon yang layak untuk menjadi Perdana Menteri, maksud calon yang layak itu calon yang boleh diterima oleh pelbagai kaum bukan hanya orang Melayu

"Calon yang hanya bergantung kepada sokongan Melayu dan Islam juga menimbulkan persoalan mengenai penerimaan masyarakat berbilang kaum, khususnya di Sabah dan Sarawak.


"Manakala calon daripada Umno pula berdepan isu rasuah, mereka (Pas) juga sebenarnya tak boleh terima," katanya dipetik laporan media.


Dr Jamaie dalam laporan itu turut menegaskan, perbezaan kepentingan antara kedua-dua parti itu berpotensi mencetuskan pertikaian sekiranya mereka berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), terutama apabila perlu menentukan pihak yang berhak menerajui kerajaan.


"Jadi sebenarnya calon itu tidak ada. Kedua parti ini tak pernah setuju untuk siapa yang akan menjadi Perdana Menteri, bagi Pas, mereka nak jadi Perdana Menteri, bagi Umno mereka tak akan bagi kepada Pas untuk jadi Perdana Menteri.

"Jadi dari sini rakyat kena menilailah bahawa ini bukan penyatuan ummah tetapi ini adalah satu kerjasama untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan demi untuk melihat kerajaan Anwar Ibrahim ini tumbang," katanya.


Justeru tambah beliau, sebelum mahu memutuskan sama ada kerajaan sedia ada wajar diganti, rakyat perlu menilai prestasi pentadbiran Anwar, termasuk usaha memperkukuh tadbir urus, memerangi rasuah dan pelbagai tindakan lain yang telah dilaksanakan bagi memastikan Malaysia disegani seantero dunia.


"Kalau betul nak digantikan Perdana Menteri, siapa calon daripada Pas, kalau daripada Umno, siapa?


"Oleh kerana kedua-dua parti ini tak ada calon lain, pada pandangan saya eloklah Anwar terus menjadi Perdana Menteri satu penggal ke depan," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page