Belanjawan 2027: PeSAWAH sambut baik inisiatif diumumkan kerajaan


Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menyambut baik inisiatif diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2027 termasuk kenaikan Insentif Penuaian Padi (IPP) daripada RM50 kepada RM100 sehektar.
Pengerusinya Abdul Rashid Yob berharap kenaikan IPP yang diumumkan itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan disegerakan bagi membantu pesawah menampung peningkatan kos operasi penanaman padi yang kini dianggarkan mencecah RM6,000 sehektar.
"Kita mengalu-alukan kenaikan IPP ini, kerana ia sedikit sebanyak membantu pesawah. Pada masa sama, kita berharap proses pembayaran dapat dipermudah dan disegerakan, supaya manfaatnya dapat dirasai pada waktu yang diperlukan.
"Walaupun kadar RM100 sehektar belum dapat menampung keseluruhan kos penuaian yang jauh lebih tinggi, bantuan ini tetap dialu-alukan sebagai sebahagian daripada sokongan kepada pesawah," katanya dipetik Bernama.
Abd Rashid sementara itu menyifatkan peruntukan pelbagai subsidi dan insentif pertanian keseluruhan berjumlah RM2.62 bilion yang diumumkan amat penting bagi membantu pesawah menguruskan kos input, termasuk baja, racun dan benih.
Dalam masa sama pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bentuk bantuan lain kepada golongan pesawah.
"Kita faham kerajaan perlu mengimbangi pelbagai keperluan, tetapi sokongan bersasar kepada pesawah amat penting bagi memastikan industri padi negara terus mampan.
"Kita berharap ada pendekatan tambahan yang dapat membantu mengurangkan kos operasi, terutama melibatkan bahan api, upah jentera dan input pertanian," tambahnya.




Comments