top of page

PRN Melaka: 'PH diikat kaki tangan, budaya rasuah pengundi menjadi jadi'



Oleh: Redzuan Shamsudin


Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memang telah dijangka sejak hari pertama kempen apabila Prosedur Operasi Piawai (SOP) yang diperkenalkan kerajaan melarang kempen fizikal sama sekali.


Kempen yang dibenarkan melalui internet seolah-olah Malaysia setaraf Amerika Syarikat atau negara Eropah yang capaian internet melebihi 90%.


Rata-rata pemimpin PH yang turun ke Melaka mengeluh mereka tidak dapat melakukan apa-apa. Sedangkan kempen yang dihadiri nama besar seperti Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu pun hanya makan dan minum di restoran dan tidak boleh tercetus satu kalimat pun mengenai politik, apatah lagi pemimpin biasa.


Strategi kerajaan mengenakan kompaun apabila beberapa orang berkumpul dan bercerita mengenai politik sangat berkesan, walaupun tidak logik. Adakah kerana bersembang politik maka virus Covid 19 datang mengerumuni? Tetapi jika seseorang datang membuka 'temberang' skim pelaburan cepat kaya maka virus itu faham dan tidak menyerang kelompok berkenaan?


BGU dipantau hampir 24 jam


Ketakutan yang disebar luaskan itu semakin kronik apabila Bilik Gerakan Utama PH didatangi polis dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia 3 hingga 4 kali sehari. Sehingga petugas terlalu takut untuk 'curi-curi' melanggar sekatan kempen. Terbayang kompaun RM1,000 - RM10,000. Siapa yang akan membayar, parti tidak ada wang. Mereka yang berkempen pun dengan perbelanjaan sendiri.


Hal yang sama tidak berlaku kepada petugas BN dan PN. Mereka tidak diberi ingatan agar jangan sampai dikompaun. Bukan sahaja pihak berkuasa kurang memantau kerana mereka adalah kerajaan tetapi dua gabungan ini boleh membayar kompaun kerana mereka banyak wang. Petugas tidak takut melanggar sebarang peraturan.


Rakyat lihat ada bank baharu


Namun kesan paling besar kepada PRN ini adalah tahap kesedaran politik rakyat yang semakin ke belakang. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 mereka telah mempunyai sedikit kesedaran, namun pada PRN kali ini pandangan politik berputar arah. Tidak dapat dipastikan adakah kerana keterdesakan hidup akibat merudumnya ekonomi berikutan Covid 19 atau faktor lain.


Penganalisis politik bersetuju faktor 'bank' baharu wujud dalam persepsi politik kali ini. Pada era BN, rakyat luar bandar khususnya bergantung kepada BN untuk bantuan makanan, membaiki rumah, anak sekolah dan sebagainya. Hari ini PN juga memberi bantuan sama. Sebelum kempen, PN turun ke Melaka dengan membuka gerai menjual keperluan harian termasuk beras, gula dan beberapa barang dengan harga RM15 sahaja.


Bantuan-bantuan lain yang disampaikan kepada penduduk kampung membuat pengundi Melayu melihat faktor bank bantuan baharu telah wujud. Malah bagi masyarakat Cina luar bandar juga mereka melihat PN kurang 'pekat' Melayunya berbanding BN dan boleh menggantungkan harapan untuk mendapat bantuan kewangan dari gabungan ini. Mungkin ini antara sebab kekalahan PH di DUN Klebang apabila undi Cina PH dicuri PN.


Politik rasuah undi diutamakan?


Namun faktor bank baharu ini bagi penganalisis politik hanya akan menyebabkan politik nilai yang dibawa PH tidak lagi berharga di mata orang Melayu. Mereka lebih memikirkan bank manakah akan memberi bantuan lebih banyak, sama ada BN atau PN. Mentaliti subsidi dikhuatiri akan menyebabkan kaum Melayu lebih bergantung kepada ahli politik dan mungkin semakin malas bekerja. Mereka akan meletakkan syarat bantuan kewangan, BRIM, bantuan pelajaran, elaun hilang kerja, elaun makan minum keluarga dan sebagainya untuk ditukar dengan undi. Apa akan jadi kepada ekonomi Malaysia sekiranya penyakit ini menyerang pengundi secara massa? Malah sekiranya politik dua bank ini berkembang tidak mustahil masyarakat B40 tanpa mengira kaum akan menjadi penyokong tegar amalan berkenaan.


Politik bank ini perlu difikirkan oleh PH bagaimana untuk menanganinya. Parti parti yang memperjuangkan ketelusan semakin hilang tarikan terutama pada era endemik Covid dan rakyat terdesak. Hal ini akan sangat berkesan ketika PRN Sarawak dan mungkin PRU 15 sekiranya diadakan dalam tempoh 6 bulan akan datang.


Logo HARAPAN


Salah satu faktor kekalahan juga mungkin kesilapan menggunakan logo HARAPAN yang mempunyai imej amat negatif dipropagandakan oleh Umno dan Pas ketika mereka menjadi pembangkang. PH dianggap telah menipu kerana tidak melaksanakan manifesto dan sering diulang-ulang dengan ungkapan 'kencing'


Maka logo yang tidak membawa ke arah pemahaman memperdaya pengundi perlu digunakan. Untuk PRN Sarawak logo KEADILAN lebih sesuai sementelah lagi kebanyakan pengundi di sana tidak mengenal logo HARAPAN sama sekali. Lebih banyak masa diambil memperkenalkan logo berbanding menjanjikan polisi yang akan dilaksanakan jika menang.


Kecualilah jika PH bersedia menggunakan taktik seperti sesetengah parti di Melaka yang meletakkan logo parti bersama wang RM100 dalam sampul surat. Tanpa ada kesediaan untuk melakukan politik sedemikian lebih selamat menggunakan logo yang telah dikenali pengundi.


__________________________________________________________________________________

Artikel ini disediakan oleh pengarang berita Suara Keadilan berdasarkan situasi kempen di beberapa DUN yang sempat ditinjau

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page