PRN Melaka: Pembahagian kerusi PH peringkat negeri selesai


Proses pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini sudah selesai sepenuhnya.
Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata, cadangan serta susunan kerusi yang disepakati itu bagaimanapun akan dibawa untuk perbincangan dan kelulusan akhir dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang dijangka berlangsung minggu ini.
Menurut beliau, kepimpinan di peringkat negeri telah menyerahkan senarai perbincangan awal berkenaan kepada Pengarah Pilihan Raya PH bagi penilaian susulan sebelum ia dimuktamadkan di peringkat tertinggi gabungan.
"Kita tunggu minggu depan. Pembahagian itu sudah ada dalam perhatian Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum kita bawa ke peringkat tertinggi gabungan untuk dimuktamadkan.
"Setakat ini, pembahagian kerusi dalam konteks PH adalah kekal seperti yang dipersetujui di peringkat negeri," katanya dipetik laporan media.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Oktober depan bagi membincangkan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pakatan Harapan sebelum ini membayangkan kemungkinan gabungan itu akan bertanding secara bersendirian sekiranya rundingan kerjasama dengan BN tidak mencapai persetujuan.




Comments