Kandungan disyaki hina Islam: MCMC rakam percakapan individu, sita telefon


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap seorang individu berhubung kandungan didakwa menghina agama Islam yang dimuat naik menerusi platform media sosial Facebook.
MCMC dalam kenyataan mendakwa kandungan berkenaan berkaitan penggunaan perkataan “lighad” yang merujuk kepada Surah al-Hashr, ayat 18, dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Oktober lalu.
Menurut suruhanjaya itu, kandungan berkenaan didakwa mempersenda ayat suci al-Quran sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
"MCMC telah mengambil rakaman percakapan individu berkenaan bagi membantu siasatan. Satu unit telefon bimbit berserta eSIM turut disita untuk tujuan pemeriksaan forensik," kata kenyataan Komunikasi Korporat MCMC.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC turut menegaskan kebebasan bersuara di media sosial perlu diamalkan secara bertanggungjawab dengan menghormati sensitiviti agama serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.
Siasatan itu dijalankan susulan kandungan yang dikaitkan dengan penggunaan istilah berkenaan dalam pembentangan Belanjawan 2027.




Comments