top of page

SEKPUR lapor polis akaun Eric See-to, didakwa persenda ayat al-Quran

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
2 min read
Shahbudin membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur
Shahbudin membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur

Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun, memohon polis menyiasat komen Facebook daripada akaun “Eric See-To” yang didakwa berpotensi memperlekeh petikan al-Quran dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.


Dalam laporan polis yang dilihat media petang tadi, Shahbudin berkata beliau melihat tangkap layar komen berkenaan pada hari ini ketika berada di Hotel Lazdana, Kuala Lumpur.


Menurutnya, komen yang dipaparkan itu berbunyi: “Yang saya tengok ialah ada ‘Lighad’ yang saya langsung tak tahu apa itu. Tapi tak ada ‘Liwat’ pula.”


Shahbudin mendakwa, komen tersebut dikaitkan dengan petikan teks ucapan Anwar yang mengandungi Surah al-Hashr, ayat 18, berserta terjemahan dan huraian perkataan “lighad” yang merujuk kepada makna "hari esok".


"Saya memandang serius tindakan mengaitkan ungkapan daripada ayat al-Quran tersebut dengan perkataan ‘liwat’.


"Pada pandangan saya, penyandingan perkataan tersebut dalam konteks ini boleh difahami sebagai ejekan yang memperlekeh kandungan agama dan menyentuh sensitiviti umat Islam," katanya dalam laporan.


Sehubungan itu, Shahbudin meminta polis menyiasat sama ada komen berkenaan mempunyai unsur niat sengaja melukakan perasaan keagamaan atau sekadar sindiran terhadap individu tertentu.


Katanya, penentuan itu perlu dibuat berdasarkan pemeriksaan hantaran asal, keseluruhan perbualan serta konteks sebenar komen tersebut diterbitkan.


Beliau turut meminta polis mengesahkan ketulenan kedua-dua tangkap layar, mengenal pasti pengendali sebenar akaun berkenaan serta mendapatkan rekod hantaran dan komen asal, termasuk tarikh, masa dan pautan penerbitan.


Selain itu, Shahbudin memohon polis menilai kemungkinan kesalahan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, sekiranya unsur kesalahan berkenaan dipenuhi, atau mana-mana peruntukan undang-undang lain yang bersesuaian.


"Laporan ini dibuat bagi memohon siasatan terhadap kemungkinan penghinaan terhadap kandungan agama.


"Saya menyerahkan penentuan kesalahan dan tindakan selanjutnya kepada pihak polis serta Pendakwa Raya," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page