PRN Melaka: Kehadiran pengundi awal di DUN Bukit Katil memberangsangkan – Adly


Kehadiran pengundi di beberapa pusat mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil menunjukkan perkembangan memberangsangkan sejak pusat pengundian dibuka pada 7.30 pagi ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Datuk Seri Adly Zahari berkata, berdasarkan pemerhatiannya di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Bukit Katil, pengundian berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Katanya, beberapa saluran di Melaka juga mencatatkan peratusan keluar mengundi melebihi 30 peratus pada awal pagi.
"Kalau kita lihat angka pengundi dari awal pagi agak baik, sebahagian saluran sudah mencecah lebih 30 peratus dan kita lihat data keseluruhan itu agak menarik juga," katanya ketika ditemui pemberita di luar pusat mengundi.
Calon PH DUN Bukit Katil itu berkata demikian ketika ditemui selepas melawat pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Datuk Palembang, hari ini.
Adly turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana menyediakan kemudahan pemantauan peratusan keluar mengundi secara masa nyata (real time).

Mengulas proses pengundian, beliau berkata setakat tinjauannya, semua pusat mengundi berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar.
Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian, khususnya berkaitan pematuhan peraturan SPR mengenai had kawasan penyokong berkumpul dan pengedaran risalah.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada warga Bukit Katil yang keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sambil berharap keadaan cuaca baik pada pagi ini berterusan sepanjang proses pengundian.
Adly berkata, beliau perlu meninjau keseluruhan 11 sekolah dan lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan berkenaan sebelum menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi.
"Saya ada 11 sekolah, lapan PDM jadi saya memang pagi ini kena tinjau dulu. Saya lihat proses pengundian.
"Saya tinjau semua tempat mengundi tak ada masalah, baru saya pergi mengundi," katanya lagi.




Comments