10 tahun menanti, 647 penduduk bakal dapat unit Residensi Maarof


Sebanyak 647 daripada keseluruhan 716 penduduk flat Sri Pahang telah mendaftar bagi proses pengundian dan tawaran unit kediaman di Residensi Maarof selepas hampir 10 tahun menanti pembangunan semula kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, proses pengundian dan tawaran unit yang berlangsung di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini merupakan langkah penting sebelum penduduk berpindah ke kediaman baharu.
Katanya, perkembangan itu pastinya membawa makna besar kepada penduduk yang sekian lama menantikan peluang memiliki kediaman baharu.
"Selepas hampir 10 tahun menanti, pastinya hari ini cukup bermakna buat mereka. Impian untuk memiliki kediaman baharu kini semakin hampir menjadi kenyataan.
"Saya menghargai kesabaran dan kerjasama penduduk sepanjang proses pembangunan semula ini," katanya dalam kenyataan di media sosial.

Menurut Fahmi, beliau turut bergabung bersama penduduk Sri Pahang yang hadir bagi mengikuti sesi pengundian dan tawaran unit berkenaan.
Menteri Komunikasi itu memaklumkan Residensi Maarof dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
"InsyaAllah, Residensi Maarof dijadual dirasmikan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa yang tidak terlalu lama," katanya.
Dalam pada itu, Fahmi memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan DBKL dan semua pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan serta kepentingan penduduk sentiasa diberikan keutamaan.
"Sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai, saya akan terus bekerjasama dengan DBKL dan semua pihak berkaitan supaya kebajikan serta kepentingan penduduk sentiasa diberi keutamaan," katanya.




Comments