top of page

Tekad perangi rasuah antara faktor Anwar diiktiraf tokoh Islam ke-13 paling berpengaruh

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
19 minutes ago
2 min read

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pengiktirafan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh Islam ke-13 paling berpengaruh di dunia dalam senarai The Muslim 500 edisi 2027 sebagai pencapaian yang turut mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.


Beliau berkata, pengiktirafan itu bukan sekadar pencapaian peribadi Anwar, malah mencerminkan kepimpinan Perdana Menteri dalam membawa gagasan Malaysia MADANI, memperkukuh diplomasi antarabangsa dan memperjuangkan keamanan sejagat.


"Pengiktirafan ini mencerminkan kepimpinan beliau dalam membawa gagasan Malaysia MADANI, memperkukuh diplomasi antarabangsa, memperjuangkan keamanan sejagat serta menegaskan komitmen memerangi rasuah yang bertunjangkan nilai amanah, keadilan dan integriti dalam Islam," katanya dalam kenyataan di media sosial.


Menurut Saifuddin, komitmen Anwar dalam memerangi rasuah turut membawa matlamat jelas untuk memastikan ketirisan dana awam dibendung supaya hasil negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan rakyat.


Katanya, usaha berkenaan penting bagi memastikan peruntukan negara dapat disalurkan kepada sektor utama termasuk pendidikan, kesihatan, kemudahan asas dan bantuan kepada golongan yang memerlukan.


"Perjuangan dan pesanan beliau kepada barisan kepimpinan negara untuk terus menentang rasuah juga membawa matlamat yang jelas, iaitu memastikan ketirisan dana awam dibendung dan hasil negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk keperluan rakyat," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata pengiktirafan berkenaan turut menyumbang kepada peningkatan imej dan keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia.


Jelasnya, keyakinan tersebut penting dalam usaha menarik pelaburan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan pendapatan rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.


"Keyakinan tersebut penting dalam usaha menarik pelaburan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan pendapatan serta merancakkan ekonomi negara," katanya.


Saifuddin berharap pengiktirafan itu menjadi pemangkin kepada usaha berterusan untuk memastikan Malaysia terus dihormati di peringkat antarabangsa, selain memastikan hasil pembangunan dan kemakmuran negara dapat dinikmati rakyat.


"Insya-Allah Malaysia akan terus dihormati di pentas dunia dan yang paling penting adalah hasil pembangunan dan kemakmuran dikembalikan kepada rakyat," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page