top of page

Jangan kaitkan wuduk dengan politik: Sokong BN-PN bukan tuntutan agama

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
5 hours ago
2 min read

Naib Presiden Parti AMANAH Negara, Datuk Mahfuz Omar (gambar) membidas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kerana menggunakan analogi kewajipan berwuduk sebelum solat bagi mengaitkan keperluan ahli parti itu mengundi calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.


Beliau mempersoalkan asas tindakan menyamakan kewajipan mengambil wuduk dengan keputusan mengundi gabungan politik, seolah-olah sokongan kepada BN-PN merupakan sebahagian daripada tuntutan agama.


"Tok Guru Hj Hadi perlu memahami satu perkara. Wuduk mempunyai dalil dan ketetapan hukum syarak, sedangkan kerjasama politik Pas dengan Umno ialah perjanjian manusia yang boleh ditandatangani, dibatalkan dan diubah mengikut kepentingan politik.


"Jangan pinjam kesucian hukum Allah untuk menyucikan percaturan politik manusia. Wuduk membersihkan hadas, bukan membersihkan rekod politik," katanya dalam kenyataan.


Mahfuz turut menyindir pendekatan berkenaan dengan menegaskan bahawa wuduk tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghalalkan perubahan pendirian politik Pas.


"Jangan jadikan wuduk sebagai mesin basuh dosa politik. Air mutlak boleh menyucikan hadas, tetapi tidak boleh memutihkan rekod politik yang kotor," katanya.


Beliau turut mempersoalkan pendirian Pas ketika parti itu pernah bermusuhan dengan Umno dan bertanding menentang BN dalam pilihanraya sebelum ini.


Katanya, jika mengundi BN - PN dianggap satu kewajipan agama, Hj Hadi perlu menjelaskan kedudukan ahli Pas yang sebelum ini mengundi untuk menumbangkan BN sewaktu bersama Pakatan Rakyat (PR).


"Apakah ahli Pas ketika itu mengundi tanpa menyempurnakan kewajipan agama?


"Apakah ketika Pas bersama Pakatan Rakyat dahulu, ahli Pas juga perlu mendapatkan wuduk politik sebelum mengundi calon rakan gabungan?" soalnya.


Menurut Mahfuz, hukum agama tidak boleh ditafsirkan mengikut perubahan rakan kerjasama politik sesebuah parti.


Beliau berkata, kaedah fiqh juga tidak seharusnya digunakan sebagai alasan untuk meletakkan sesuatu keputusan politik dalam kategori kewajipan agama tanpa asas hukum yang jelas.


"Kaedah fiqh bukan lesen untuk seseorang pemimpin memasukkan apa sahaja keputusan politik ke dalam kategori wajib agama.


"Akhirnya, bukan politik yang tunduk kepada agama, tetapi agama pula dipaksa tunduk kepada keputusan politik pemimpin," katanya.


Persenda bukan Islam


Dalam kenyataan sama, Mahfuz turut membangkitkan kenyataan Hj Hadi yang mendakwa sejahat-jahat dan seburuk-buruk orang Islam yang memerintah negara tidak sezalim orang bukan Islam.


Beliau mempersoalkan sama ada kenyataan itu bermaksud pemimpin Islam yang melakukan rasuah, menyalahgunakan kuasa dan mengkhianati amanah rakyat masih dianggap lebih baik berbanding pemimpin bukan Islam yang jujur serta berlaku adil.


"Sejak bila Islam mengajar kita mengukur keadilan berdasarkan agama pada kad pengenalan, bukannya berdasarkan perbuatan dan amanah seseorang?" tanyanya.


Mahfuz menegaskan Islam tidak mengajar umatnya menyerahkan pertimbangan akal secara membuta tuli kepada pemimpin, sebaliknya menggalakkan umatnya berfikir, menilai, menegur dan mempertahankan kebenaran.


Beliau berkata, pemimpin juga perlu memastikan politik bebas daripada rasuah, kezaliman, kepura-puraan dan pengkhianatan amanah.


"Wuduk itu untuk menyucikan diri. Undi itu untuk memilih pemimpin. Jangan sampai kedua-duanya dicampuradukkan hanya kerana politik sedang kehabisan hujah.


"Jangan gunakan air wuduk untuk membasuh kain politik yang kotor. Masalahnya bukan air yang kurang suci, tetapi kain yang tidak mahu dibersihkan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page