PRN Melaka: KEADILAN bakal ketengah lebih ramai calon baharu
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 1 min read

KEADILAN Melaka memberi bayangan bakal mengetengahkan lebih ramai muka baharu terutama daripada kalangan wanita dan golongan muda sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Adam Adli Abdul Halim (gambar) berkata, ketika ini proses saringan calon sedang berjalan sebelum dikemukakan ke peringkat pusat untuk pertimbangan dan keputusan akhir oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kali ini banyak juga muka baharu yang cuba kita ketengahkan, kita mahu pastikan ada keseimbangan suara antara wanita dan golongan muda.
"Dengan faktor itu, kita perlu menyediakan calon lebih awal, kalau tidak, mereka akan berada dalam sedikit keadaan `disadvantage' (kurang kelebihan) berbanding orang lain," katanya dipetik laporan media.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pendidikan ditemui pemberita selepas pelancaran Jentera PRN Cabang Hang Tuah Jaya, di Bukit Piatu.
Sementara itu, sebagai mengulas kerjasama PH-BN bagi PRN Melaka, beliau berkata perbincangan awal sudah bermula beberapa bulan lalu, namun rundingan rasmi diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi.
"Rundingan rasmi belum dimulakan dan ia akan dilaksanakan oleh Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amiruddin Shari bersama pemangku Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sedikit masa lagi," jelasnya.
Adam Adli turut memaklumkan bahawa pembahagian kerusi sesama PH telah selesai. Namun, ia secara prinsipnya sekadar persediaan awal dan boleh berubah sekiranya terbentuk gabungan kerjasama politik yang lebih luas.




Comments