PRN Melaka: Kamil Munim yakin generasi muda buat keputusan terbaik


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menyatakan keyakinan rakyat Melaka khususnya generasi muda akan membuat keputusan terbaik pada Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) hari ini.
Dipetik laporan media, beliau menyeru pengundi memberi mandat kepada parti yang mampu membuat perubahan di negeri itu.
"Perubahan harus dilakukan dan dilaksanakan pada pilihan raya kali ini. Ia bukan untuk kepentingan individu tertentu tetapi untuk manfaat rakyat Melaka," katanya dipetik.
Seramai 675,166 pengundi biasa layak menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih wakil rakyat untuk mengisi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebanyak 240 pusat mengundi biasa dengan 1,213 saluran disediakan di seluruh negeri ini, yang akan dibuka bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.
PRN kali ini menyaksikan seramai 79 calon daripada pelbagai parti politik dan calon Bebas bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN, selepas proses penamaan calon pada 31 Oktober lalu.
Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon di 24 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 23 calon, Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) (16), BERSATU (tujuh), Perikatan Nasional (PN) (lima), Parti Pribumi Perkasa Malaysia (satu) dan tiga calon Bebas.
Sementara itu, sebagai mengulas perjalanan kempen sejak dua minggu lalu, Kamil Munim berkata, semua calon gabungan itu telah menyantuni pengundi seramai mungkin.
Sepanjang tempoh tersebut, sambutan baik diterima terutama dari kelompok orang muda Gen Z.




Comments