PRN Melaka: Ginie tawar khidmat lebih baik untuk Machap Jaya


Pengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya bagi penggal 2018 menjadi sandaran utama Datuk Ginie Lim Siew Lin menawarkan khidmat lebih baik sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN itu berkata, sambutan positif penduduk memberikan dorongan untuk beliau terus mendekati masyarakat dan mendengar keperluan mereka
Malah, rekod perkhidmatan beliau yang masih diingati sebahagian penduduk, menguatkan lagi azamnya untuk kembali menabur bakti di kawasan berkenaan.
"Saya optimis untuk terus meraih sokongan supaya dapat memberikan perkhidmatan lebih baik daripada apa yang saya tawarkan sebelum ini.
"Kita sekarang memasuki era politik baharu. Rakyat sudah bijak menilai kemampuan, keupayaan, pengalaman, visi dan perancangan yang dibawa oleh seseorang calon," katanya dipetik.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan mesra di Taman Pengkalan Indah, di Alor Gajah.
Sementara itu menurutnya, isu asas melibatkan infrastruktur, kebajikan, keselamatan kanak-kanak dan wanita, keselamatan jalan raya serta persekitaran akan terus menjadi keutamaan dalam perancangannya untuk Machap Jaya.
Selain itu, perhatian turut diberi kepada usaha memperkasa ekonomi wanita serta memperluas peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran untuk golongan muda.
"Berdasarkan pengalaman saya berkhidmat di Invest Melaka dan berurusan dengan pihak industri, peluang untuk anak muda sebenarnya besar, khususnya dalam industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor, elektronik serta elektrik," tambahnya.
DUN Machap Jaya mempunyai seramai 16,030 pemilih berdaftar. Pada PRN ini Ginie bakal menentang penyandang, Datuk Ngwe Hee Sem dan calon Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Prasanth Kumar Brakasam dalam persaingan tiga penjuru.




Comments