top of page

Anwar ziarah mangsa banjir Kg Melayu Subang, mahu projek tebatan dipercepat

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
3 hours ago
2 min read
PM menyemak pelan kawasan Sg Buloh dan arah aliran air, mahu projek tebatan banjir dipecepatkan
PM menyemak pelan kawasan Sg Buloh dan arah aliran air, mahu projek tebatan banjir dipecepatkan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi penduduk Kampung Melayu Subang dan kawasan sekitar yang terjejas akibat banjir kilat petang semalam.


Anwar berkata, beliau singgah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Siantan selepas selesai menjalankan tugasan di Parlimen bagi bertemu keluarga yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.


Menurutnya, kunjungan itu memberi peluang kepada beliau bertanya khabar, mendengar sendiri kesulitan dihadapi mangsa serta meneliti keadaan dan keperluan keluarga yang terjejas.


"Saya mengambil kesempatan bertanya khabar, mendengar sendiri kesulitan yang dihadapi serta melihat keadaan dan keperluan keluarga yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing," katanya dalam muat naik di media sosial.


Beliau berkata, perbincangan turut diadakan bersama Menteri Besar Selangor dan wakil rakyat kawasan berkenaan bagi meneliti keperluan bantuan tambahan kepada keluarga terjejas.


Dalam pada itu, Anwar menegaskan projek tebatan banjir perlu dipercepatkan, termasuk kerja pelebaran sungai dan pembinaan kolam tambahan bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.


"Pesanan saya, projek tebatan banjir termasuk pelebaran sungai dan pembinaan kolam tambahan perlu dipercepatkan bagi mengurangkan risiko kejadian berulang," katanya.


Untuk rekod, banjir kilat yang melanda kawasan Sungai Buloh, khususnya Kampung Melayu Subang, semalam, berpunca daripada hujan lebat luar biasa yang menyebabkan paras sungai meningkat dan melimpah ke kawasan kediaman.


Hujan lebat berlaku sekitar jam 2 hingga 3 petang menyebabkan paras sungai meningkat melepasi tahap bahaya. Taburan hujan di Kampung Melayu Subang mencecah 116.5 milimeter, menyamai purata hujan selama tiga hari mengakibatkan banjir mencecah kira-kira satu meter atau paras pinggang.


Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, kira-kira 92 rumah di Kampung Melayu Subang terjejas. Selain itu, banjir turut dilaporkan di Denai Alam, Puncak Alam, Sungai Buloh, Saujana Utama dan Damansara Uptown yang keseluruhannya 500 rumah dinaiki air.


Dua PPS dibuka di daerah Petaling dibuka pada jam 6 petang, termasuk Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang dan Dewan Resak, Subang Perdana.


Perdana Menteri mengarahkan supaya dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dipercepatkan, iaitu RTB Sungai Buloh dan RTB Sungai Damansara. Kedua-dua projek itu bernilai hampir RM700 juta dan telah diluluskan Kerajaan Persekutuan.


Beliau berkata kerja-kerja mengorek dan melebarkan sungai, pembinaan kolam tambahan serta pelaksanaan keseluruhan projek tebatan perlu dipercepatkan bagi mengurangkan risiko banjir berulang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page