PH tawar 3 keutamaan, 12 aspirasi dalam 'Melaka Rumah Kita'


Pakatan Harapan (PH) Melaka menggariskan 3 keutamaan dan 12 aspirasi kepada pengundi dalam slogan 'Melaka Rumah Kita' sebagai komitmen untuk memastikan kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negeri itu terus diberi perhatian.
Pengerusinya, Adly Zahari berkata, keutamaan pertama adalah menyediakan rumah untuk rakyat bagi memastikan setiap penduduk berpeluang memiliki atau menyewa kediaman yang selesa menerusi skim perumahan mesra rakyat.
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut memberi penekanan kepada usaha mewujudkan kerajaan yang mesra, cekap dan responsif terhadap keperluan rakyat, termasuk mempermudahkan prosedur, mempercepatkan urusan serta meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan.
"Aspirasi ketiga pula memberi tumpuan kepada penyediaan pekerjaan berkualiti dan jaminan masa depan anak muda menerusi usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
"Agenda memperkasa wanita turut menjadi keutamaan menerusi pemberian geran khas kepada peniaga wanita bagi menyokong golongan itu yang terlibat dalam bidang perniagaan.
"PH Melaka juga berhasrat memperkasa peniaga kecil dan usahawan tempatan supaya lebih mudah mendapatkan modal, mengembangkan perniagaan serta meningkatkan pendapatan," katanya dalam sidang media PH sempena PRN Melaka ke-16.
Adly berkata, kebajikan rakyat juga akan terus menjadi keutamaan kerajaan dengan memastikan golongan yang memerlukan sentiasa mendapat perlindungan, bantuan dan perkhidmatan awam sewajarnya.
Dalam aspek pembangunan infrastruktur pula, kata beliau, pihaknya turut memberi perhatian kepada usaha memastikan sistem lalu lintas lebih lancar, selamat dan terhubung menerusi penyediaan kemudahan pengangkutan dan kemudahan awam yang lebih baik.
Aspirasi kelapan pula, kata Adly ialah memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan syiar Islam dan institusi agama menerusi pengukuhan peranan masjid serta surau sebagai pusat pembangunan umat berteraskan maqasid syariah.
"Selain itu, PH Melaka turut menggariskan keperluan membina kerajaan yang bersih, telus dan berintegriti, khususnya dalam memastikan setiap ringgit wang rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan diuruskan secara berhemah.
"Bagi memanfaatkan sumber tanah negeri pula, aspirasi kesepuluh memberi tumpuan kepada usaha mengubah tanah terbiar menjadi peluang ekonomi yang mampu memberikan manfaat serta menjana pendapatan kepada rakyat.
"Sementara itu, menerusi aspirasi ke-11, PH Melaka mahu memastikan penggunaan tanah negeri dioptimumkan demi kepentingan masyarakat, manfaat rakyat serta pembangunan mampan.
"Ia termasuk mengembalikan dasar tanah negeri yang memudahkan rakyat, antaranya membenarkan urusan lanjutan tempoh pajakan dibuat lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga baki pajakan kurang daripada 10 tahun.
"Aspirasi terakhir pula memberi penekanan kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat menerusi konsep Melaka untuk semua, dengan memastikan kebebasan beragama dihormati serta manfaat pembangunan dinikmati secara adil dan saksama merentasi kepercayaan," ujar beliau yang juga calon PH bagi DUN N.17 Bukit Katil.






Comments