PRN Melaka: Calon muka baharu mampu gugat penguasaan BN


KEADILAN yakin tujuh muka baharu yang dipertaruhkan parti itu mampu mencipta kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pemangku Pengerusi MPN KEADILAN Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata biarpun sebahagian besar calon belum mempunyai pengalaman bertanding, mereka dipilih berlandaskan kebolehlaksanaan untuk menang dan menggugat penguasaan Barisan Nasional (BN).
Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan jentera agar tidak mengambil mudah cabaran pada PRN kali ini dan perlu terus bekerja keras demi memenangi hati pengundi.
"Semua orang masuk bertanding untuk menang. Namun, kemenangan bukan hanya bergantung kepada nama atau kekuatan peribadi, tetapi juga hubungan dengan masyarakat, kerja yang dilaksanakan dan agenda yang dibawa.
"Paling mustahak, kepentingan masyarakat dan rakyat sebagai pengundi perlu menjadi keutamaan," katanya dipetikm laporan media.
Beliau ditemui ketika menghadiri Program MADANI Kita (PMK) Bersama-sama Komuniti Ayer Keroh @ Hang Tuah Jaya di Dewan Serbaguna PPR Sungai Putat, Batu Berendam pada Ahad.
KEADILAN mengetengahkan tujuh muka baharu iaitu Esma Eazreen Husin di Rim, Faiq di Serkam, Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan di Rembia, Denesh V Palasubramaniam di Asahan, Datuk Azman Abidin di Paya Rumput, Mohd Yunazri Mustamiri di Tanjung Bidara dan Muhamad Hakimi Mokhtar di Ayer Molek.
Sementara dua lagi calon, Farzana Hayani Mohd Nasir (Klebang) dan Datuk Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya) mempunyai pengalaman bertanding dalam pilihanraya.
Sementara itu Adam Adli menyeru semua calon membuktikan kemampuan mereka menerusi hubungan rapat dengan masyarakat, gerak kerja jentera yang berkesan serta kebolehan menyampaikan tawaran parti kepada pengundi.
Pengalaman dan pendekatan KEADILAN di peringkat Persekutuan khususnya dalam aspek tadbir urus baik, tanggungjawab wakil rakyat serta agenda perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat juga perlu diterjemahkan di Melaka.
"KEADILAN perlu berusaha dengan lebih keras untuk meyakinkan masyarakat bahawa apa yang telah kita laksanakan, terutama di peringkat Persekutuan, boleh dibawa dengan semangat dan prinsip yang sama ke Melaka," tegasnya.




Comments