PH perlu sasar lebih 30% undi Melayu untuk menang – Adly Zahari


Pakatan Harapan (PH) masih berpotensi memenangi sebahagian besar kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata, sokongan pengundi Melayu bakal menjadi penentu utama PRN kali ini berikutan banyak kerusi dipertandingkan mempunyai komposisi pengundi campuran yang bakal menyaksikan persaingan sengit.
Justeru bagi membuka peluang menang di kerusi yang ditandingi, gabungan itu perlu bekerja keras bagi meraih lebih 30 peratus undi orang Melayu.
"PH perlu memperoleh lebih daripada 30 peratus undi Melayu dan jika berjaya mencapai tahap itu, kita berpeluang memenangi sebahagian besar kerusi.
"Jika memperoleh sekitar 20 peratus, kita mungkin hanya mampu menambah beberapa kerusi. Namun, jika gagal mencapai 20 peratus, PH berisiko kehilangan sebahagian kerusi yang sedang kita miliki," katanya dipetik laporan media.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan sementara itu berkata, pihaknya tidak memandang ringan persaingan pada PRN ini termasuk cabaran dari Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Selain kemampuan parti itu menarik sokongan, terutama dalam kalangan pengundi baharu, isu-isu diketengahkan Bersama turut mempunyai persamaan dengan perjuangan PH, sekali gus berpotensi mempengaruhi pengundi.
"Bersama mungkin tidak akan menang, tetapi mereka boleh mengganggu mana-mana parti yang bertanding untuk mencapai kemenangan," tambah calon N17 Bukit Katil itu.




Comments