Sokong Pas kewajipan Islam, jangan keliru - Dr Aziz Bari


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Tebing Tinggi, Perak, mengingatkan orang ramai supaya tidak terkeliru dengan menganggap sokongan terhadap Pas sebagai kewajipan bagi umat Islam.
Dr Abdul Aziz Bari berkata, Pas hanya sebuah parti politik, bukannya 'jalan agama' seperti digambarkan pemimpin Pas menerusi kenyataan-kenyataan mereka.
"Seorang pemimpin Pas Pahang mendakwa menyokong Pas boleh membawa berkat ke negeri itu.
"Rakyat perlu tahu rekod dan prestasi Pas. Pas tidak ada kemampuan untuk memerintah negara," kata mantan pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.
Beliau turut menegaskan, tidak semua yang dibawa parti Pas adalah berdasarkan prinsip Islam, malah sebahagiannya dilihat tidak selari, bahkan bertentangan dengan ajaran Islam.
"Pada hakikatnya, Pas juga parti politik sekular kerana mereka menyebarkan fitnah sesuka hati. Ini dapat dilihat dalam kes-kes mahkamah yang Pas kalah di mahkamah," tambahnya.
Menerusi kenyataan tersebut, Exco Perak berkenaan turut menyelar pandangan hanya Pas boleh memperjuangkan kedudukan Islam di negara ini.
Menurutnya, terdapat parti politik lain termasuk DAP yang menyatakan komitmen untuk mempertahan dan menjunjung kedudukan Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi dalam negara.
"Pelbagai institusi dan dasar berkaitan Islam seperti Tabung Haji, universiti Islam, sistem kewangan Islam serta pemerkasaan mahkamah syariah hari ini bukan legasi daripada Pas.
"Malah, Pas sendiri gagal membawa Rang Undang-Undang (RUU) 355 berkaitan bidang kuasa mahkamah syariah ke Parlimen, meskipun pernah terlibat dalam kerajaan Persekutuan
"Ada sumber mengatakan Pas telah meninggalkan retorik hudud dan negara Islam. Pendeknya, Pas tidak berbeza daripada parti-parti lain yang Pas labelkan sebagai parti sekular," katanya.
Mantan profesor Undang Undang Perlembagaan itu menyeru rakyat agar menilai semula rekod dan prestasi Pas dengan pencapaian yang berjaya dicapai kerajaan diterajui Pakatan Harapan.
"Memang kerajaan tidak sempurna, cabaran geopolitik dan ekonomi semasa menjadikan usaha mentadbir negara semakin kompleks.
"Tetapi kedudukan umat Islam, prestasi ekonomi serta pembangunan Sabah dan Sarawak menunjukkan perkembangan yang menggalakkan di bawah pentadbiran semasa," jelasnya.




Comments