PRN Melaka: Bayangan kerjasama PH-BN diketahui menjelang Hari Malaysia
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 1 min read

Keputusan sama ada Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Melaka dijangka diputuskan sebelum 16 September ini.
Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata perbincangan mengenai kerjasama berkenaan masih di peringkat awal dan keputusan muktamad perlu dipersetujui di peringkat PH serta KEADILAN.
"Masih di tahap eksplorasi awal yang kita belum boleh putuskan.
"Sebelum Hari Malaysia, kita mungkin dah ada bayangan untuk maju ke depan atau melangkah ke depan dalam berhadapan PRN Melaka," katanya dipetik laporan media.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor ditemui selepas sidang media sempena Festival Turath Islami Kebangsaan 2026 di Putrajaya semalam.
Sidang media turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.
Sementara itu menurut Amirudin, satu daripada sesi perbincangan berhubung kerjasama itu dijangka berlangsung minggu ini .
Pengalaman PH dan BN bekerjasama serta bertembung dalam beberapa PRN sebelum jelasnya bakal menjadi asas dalam mencari penyelesaian terbaik bagi PRN Melaka.
"Kita pernah bekerjasama dengan BN sebagai satu gabungan dalam PRN, kita pernah bertembung di Johor, bertembung di Negeri Sembilan dan bekerjasama dengan rapat di Sabah. Semua pengalaman itu kita kumpulkan untuk memberi manfaat kepada semua," tambahnya.




Comments