PRN Melaka: AMANAH hargai Tok Mat, harap BN bersama Kerajaan Perpaduan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
AMANAH menzahirkan penghargaan terhadap kejujuran Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berhubung isu rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad (gambar) berkata, pihaknya mengharapkan kerjasama Kerajaan Perpaduan dapat dikekalkan demi kepentingan negara, namun pilihan diletakkan kepada BN.
"Secara tenang Tok Mat (Mohamad Hasan) menyatakan bahawa ianya tidak mungkin dilakukan kerana keputusan sama ada nak bersama PH atau bersendirian masih belum dibuat. Kalau ikut kenyataan Akmal (Ketua Pemuda UMNO) pula, dia lebih cenderung untuk bersama Pas/Perikatan Nasional (PN).
"Kami melihat kerjasama yang diasaskan selepas PRU-15 sangat baik, penuh dengan tolak-ansur dan keikhlasan. Tiada sebab BN perlu menolak kerjasama ini. Agak hairan kenapa BN masih teragak-agak dalam meneruskannya kerana tiada unsur khianat atau paksaan sepanjang kita bekerjasama.
"Namun demikian, berdasarkan jawapan Tok Mat, AMANAH kena bersiap-sedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Khalid lagi, beliau teringat kata-kata seorang pegawai ISA ketika ditahan dahulu bahawa 'pisau di tangan kamu dan buah di tangan kamu, nak potong cantik-cantik atau nak cincang, itu pilihan kamu'.
"Begitulah keadaannya dengan BN sekarang. Walaupun dilayani dengan baik semasa kerjasama perpaduan ini, terpulang pada BN sama ada hendak teruskan atau sebaliknya.
"Kami terus mengharap bahawa keikhlasan yang ditunjukkan PH dalam berpakat akan dihargai dan mencorakkan keputusan BN.
"Tapi pada masa sama AMANAH akan menggerakkan jenteranya mulai sekarang untuk hadapi kemungkinan tiga penjuru atau dua penjuru sekiranya BN mengikuti kegilaan Akmal.
"Ini bukan amaran atau cabaran, ianya sekadar 'statement of fact' atau menyatakan hakikat," ujarnya.
Pilihan Raya Negeri Melaka dijadual akan berlangsung pada penghujungn tahun ini apabila genap penggal kerajaan yang mengadakan PRN terakhir pada 2021 lalu.
Pada PRN 2021 BN menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka yang dipertandingkan, menyebabkan BN negeri agak sukar membuat keputusan untuk bersama parti lain. Bagaimanapun PRN itu dilaksanakan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan yang tidak membenarkan ceramah terbuka dan sentuhan individu dilakukan dalam situasi wabak Covid 19.
Untuk rekod BN tidak memenangi sebarang kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum 2022.









Comments