Kerajaan MADANI perhebat baik pulih kuarters tentera, polis uzur
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI akan terus fokus kepada usaha menambah baik kuarters tentera dan polis yang telah uzur demi keselesaan anggota pasukan keselamatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata, perbincangan mengenai perancangan semasa turut merangkumi langkah pembaikan kuarters yang telah mula dilaksanakan.
"Perumahan polis kita dah ambil tindakan sepertinya (demikian juga) tentera, jadi kita akan lebih fokus. Tahun-tahun lepas RM1 bilion telah diberikan kepada kuarters tentera dan polis untuk baik pulih rumah yang sangat uzur," katanya dipetik.
Anwar berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri dan Ihya’ Ramadan di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya pada Khamis.
Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Perdana Menteri, sementara itu turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia, Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain atas ketangkasan dan kecekapan mereka, namun dalam masa sama mengingatkan supaya tidak leka.
"Saya bangga dengan prestasi tugas saudara-saudari setakat ini, tetapi jangan kita leka. Kita nilai diri kita sendiri... jangan kita merosot," katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa tanggungjawab membangunkan negara bukan terletak pada satu pihak sahaja, namun merupakan tanggungjawab semua pihak.
"Tanggungjawab membangunkan negara ini bukan tanggungjawab satu pihak. Sama sepertimana kita tengok aspek keamanan, ada kata ini tanggungjawab polis saja, tak betul. Ini tanggungjawab semua.
"Guna Ramadan ini sebagai masa kita kemaskan diri kita, perbaiki prestasi kita, betulkan apa-apa kekurangan dan kelemahan dalam diri kita. Kemudian usahakan supaya negara ini lebih teratur," tambahnya.









Comments