top of page

Wanita KEADILAN Pahang anjur Karnival Sukma Waja secara besar-besaran

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Fadhlina (tengah) bersama Pengerusi MPN KEADILAN Pahang, Datuk Farhan (tiga dari kanan), Ketua Wanita KEADILAN Pahang, Sridayu (empat dari kiri) pada majlis Karnival Sukma Waja Wanita KEADILAN
Fadhlina (tengah) bersama Pengerusi MPN KEADILAN Pahang, Datuk Farhan (tiga dari kanan), Ketua Wanita KEADILAN Pahang, Sridayu (empat dari kiri) pada majlis Karnival Sukma Waja Wanita KEADILAN

Wanita KEADILAN Negeri Pahang mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama menganjurkan Karnival Sukma Waja Wanita KEADILAN secara besar-besaran pada 16 Februari lalu, sejak ia dilancarkan oleh Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek pada 27 Januari 2026 di Bandar Baru Bangi, Selangor.


Majlis Pelancaran Skuad Sukma Waja Negeri Pahang telah dirasmikan sendiri oleh Fadhlina di Taman Gelora, Kuantan, serentak dengan peluncuran gelanggang Silat Gayong Srikandi Wanita KEADILAN Pahang.


Dalam ucapan perasmian, beliau merakamkan penghargaan atas kejayaan penganjuran Sukma Waja Pahang dan berharap kepimpinan Wanita KEADILAN negeri itu terus menjadi model amalan kerja terbaik bersama masyarakat.


"Saya yakin kepimpinan wanita di Pahang mampu mengorak langkah lebih jauh dalam memartabatkan aktivisme serta pemerkasaan wanita dalam pembangunan negeri," katanya.


Sementara itu, Ketua Wanita KEADILAN Negeri Pahang, Sridayu Samsuri berkata program peringkat negeri yang pertama digerakkan itu menjadi realiti hasil kerjasama berpasukan serta sokongan padu kepimpinan wanita di 14 Cabang mewakili 14 Parlimen di Pahang.

Barisan pesilat yang mengambil bahagian bersama pemimpin KEADILAN dalam Karnival Sukma Waja
Barisan pesilat yang mengambil bahagian bersama pemimpin KEADILAN dalam Karnival Sukma Waja

Menurut beliau, enam agenda utama digariskan sebagai teras gerak kerja Sukma Waja Pahang iaitu memperkasa keusahawanan wanita melalui jaringan perniagaan dan latihan; membina kepimpinan pelapis berdaya saing; menyantuni masyarakat melalui kebajikan dan advokasi; memperkukuh kebun komuniti bagi keselamatan makanan; menjuarai isu wanita serta pemantapan nilai; dan memperkasa ketahanan fizikal serta mental menerusi Silat Srikandi.


Program tersebut turut meraikan dua sambutan utama iaitu Tahun Baharu Cina dan Awal Ramadan melalui persembahan tarian singa, demonstrasi Silat Srikandi serta pelancaran Program Semarak Ramadan 2026.


Pelbagai reruai agensi seperti NADI, PERKESO, PDRM dan Kolej Komuniti turut memeriahkan karnival selain penyertaan usahawan tempatan termasuk Teja Station dan anggota Wanita KEADILAN Pahang. Aktiviti sampingan seperti Pertandingan Mewarna kanak-kanak dan Pertandingan Gubahan wanita dewasa turut mendapat sambutan.


Antara yang hadir ialah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Pahang, Ahmad Farhan Fauzi; Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi; serta Ketua Angkatan Muda KEADILAN Negeri Pahang, Hilmi Yakap bersama kepimpinan negeri dan agensi berkaitan.


Karnival tersebut membuktikan komitmen Wanita KEADILAN Pahang untuk terus memperkukuh kekuatan akar umbi secara menyeluruh merangkumi aspek ekonomi, kebajikan, kepimpinan dan pembinaan jati diri wanita.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page