top of page

PRN Johor: Umno Gunapakai Strategi Mao Tze Tung?



Oleh: Hassan Abdul Karim


ULASAN: Umno telah bekerjasama dengan Bersatu, PAS, GPS dan Kelompok “Pengkhianat” dari KEADILAN untuk tumbangkan Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.


Ini bermakna Umno telah mengguna pakai strategi Mao Tze Tung yang memimpin Parti Komunis China dalam membina barisan bersatu (united front) dengan General Chiang Kai Sheik, pemimpin Parti Kuomintang dalam usaha mereka mengalahkan fasis Jepun selepas Perang Dunia Kedua.


Dalam usaha bersama Mao Tze Tung dan Chiang Kai Sheik itu, imperialis Jepun dapat dikalahkan oleh rakyat China.


Manakala di Malaysia, usaha front bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin yang disokong Umno telah berjaya menumbangkan Kerajaan tidak popular PH yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Langkawi pada 23 Februari 2020.


Selepas berada di dalam kerajaan campuran yang dipanggil Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dari Bersatu, Umno tidak berdiam diri. Umno mahu jatuhkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri (PM) untuk diganti oleh seorang Perdana Menteri dari parti itu.


Strategi yang dipakai oleh Umno pimpinan Ahmad Zahid Hamidi ketika itu ialah memecahkan front bersatu Perikatan Nasional. Apa yang berlaku 15 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan pimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu tumbang macam "daun terup" pada September 2021.


Umno ambil alih kerusi PM


Ahli Parlimen Umno dari Bera, Pahang, selepas kejatuhan Muhyiddin, secara “by default” telah diangkat menjadi Perdana Menteri, walaupun Ismail Sabri Yaakob hanya Naib Presiden Umno, orang ketiga di dalam hiraki kepimpinan


Kini selepas Umno mempunyai Ahli Parlimennya sendiri menjadi PM yang mentadbir kerajaan pusat di Putrajaya, maka Umno bergerak ke depan lagi dengan menggunakan strategi terkenal Mao Tze Tung yang kedua iaitu “mengepung kota dari desa”.


Sama ada Umno sedar atau tidak, sekarang strategi inilah yang sedang diguna pakai oleh mereka


Jika Putrajaya dianggap “kota” maka 13 negeri-negeri dalam Malaysia yang lain boleh dipanggil sebagai “desa”.


Strategi Mao Tze Tung mengalahkan Kerajaan Pusat China yang dipimpin oleh General Chiang Kai Sheik ialah dengan kaedah “mengepung kota dari desa”.


Bermula di Sabah


Hal yang selari sedang berlaku di Malaysia. Ia bermula dengan Pilihanraya Negeri Sabah (PRN) di tengah-tengah pandemik Covid-19 yang dicetuskan oleh pimpinan Umno Sabah seperti bekas Ketua Menteri, Musa Aman. Strategi itu berjaya. Kerajaan PH pimpinan Warisan di bawah Ketua Menteri Shafie Afdal tumbang. Umno berjaya naik jadi rakan kerajaan campuran Sabah yang dipimpin oleh Ketua Menteri dari Bersatu.


Satu “desa” telah tumbang iaitu Sabah, satu wilayah di Borneo yang penting bagi Umno.


Umno tidak dapat bertapak di Sarawak, tetapi sekurang-kurang kini bagi Umno dia berada dalam kerajaan negeri Sabah dengan Bung Mokhtar dari parti itu menjadi salah seorang Timbalan Ketua Menteri Sabah.


Selepas PH kalah di Sabah, kini Umno mahu tawan satu lagi negeri di Semenanjung.


Umno sebelum PRU-14 memang kuat di Melaka. Jadi Umno mengatur strategi di Melaka. Bagi Umno, bagai “pucuk dicita, ulam mendatang” di Melaka atas strategi kurang menjadi PH di Melaka, maka Umno mendapat peluru untuk ditembak balik kepada PH.


Kerajaan PN Melaka tumbang dan PRN Melaka diadakan pada 20 Oktober 2021.


Umno menang besar melebihi majoriti dua pertiga dan bukan sahaja berjaya mengalahkan PH tetapi Umno berjaya memusnahkan Bersatu di Melaka. Kini Umno jadi “Raja Perang” di Melaka selepas PRN tersebut.


Strategi Johor untuk menang mutlak


Seterusnya kita ke seberang Laut Cina Selatan. Umno tidak jadi “pemain politik” di Sarawak. Umno tidak bertanding dalam PRN Sarawak pada bulan Disember 2021.


Tetapi Umno ada sejarah hubungan erat dengan Parti Pesaka Bumiputera di Sarawak dan Kerajaan Sarawak sejak dari zaman Tun Abdul Rahman Yaakob hinggalah zaman Tun Taib Mahmud dan kini Abang Johari Tun Openg. Apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar bererti Umno mempunyai rakan yang mesra dengannya di Bumi Kenyalang itu.


Selepas Sarawak, Umno mensasarkan satu lagi negeri untuk jatuh di bawah kuasanya. Umno merancang PRN Johor yang menyaksikan Kerajaan campuran Umno, Bersatu dan Pas yang hanya ada 28 kerusi berbanding PH memiliki 27 kerusi Dewan Undangan Negeri.


Walaupun tidak ada gangguan dan ancaman dari PH di Johor terhadap kestabilan kerajaan campuran, malahan PH Johor sanggup melakukan “Gencatan Senjata” supaya Kerajaan Johor dapat mentadbir sehingga tempoh penggal DUN selesai pada tahun 2023, tetapi Umno yang gelojoh dan rakus membubarkan DUN Johor agar PRN dapat diadakan demi untuk mendapat kuasa mutlak. Seperti di Melaka, objektif Umno bukan sahaja menewaskan PH tetapi juga mahu menghapuskan Bersatu dari bumi Johor.


Berbagai kempen “psy war” atau “perang urat saraf” dilancarkan oleh Umno di Pusat yang dipimpin Ahmad Zahid Hamidi dengan bersekongkol dengan Umno Johor.


Akhirnya pada Sabtu 22 Januari 2022, Sultan Johor, memperkenankan permohonan Menteri Besar Johor supaya Dewan Undangan Johor ke-14 dibubarkan untuk membolehkan satu PRN diadakan. Apa yang diidamkan oleh Umno kini telah tercapai.


Tidak peduli risiko Covid 19


Umno tak peduli risiko Covid-19 varian Omicron di Johor dan juga di Malaysia.


Pada 1 Disember 2021 hanya terdapat 1 kes Omicron. Pada 31 Disember 2021 naik jadi 64 kes. Umno tak peduli nyawa rakyat. Pada 13 Januari 2022, naik lagi menjadi 253 kes Omicron. Umno tidak peduli walaupun Johor antara negeri tertinggi kadar jangkitan Covid-19.


Pada 18 Januari 2022 jumlah jangkitan Covid-19 Omicron ialah 439 kes.


Umno tidak peduli jika akibat PRN di Johor akan mengulang jangkitan wabak Covid seperti di Sabah selepas PRN 2020. Bagi Umno yang penting ialah kuasa, kuasa dan kuasa.


Umno bertemu buku dan ruas?


Hanya kali ini, Umno tidak mudah di Johor. Umno akan menghadapi tentangan yang kuat dari PH Johor. Strategi “mengepung kota dari desa” yang dipinjam Umno dari “playbook” Parti Komunis China akan bertemu “buku dengan ruas” di Johor.


Umno satu-satunya parti politik semasa berkuasa di dalam Kerajaan Persekutuan yang ada hubungan rasmi dengan Parti Komunis China yang memerintah Republik Rakyat China.


Waktu Umno bersahabat dengan Parti Komunis China inilah besar kemungkinan pemimpin-pemimpin Umno belajar strategi Mao Tze Tung iaitu membina "front bersatu" dan "mengepung kota dari desa".


Walaupun Umno besar kemungkinan akan kalah dalam Pilihanraya Negeri Johor akan datang, tetapi kekalahan Umno itu nanti akan dianggap oleh para pimpinannya sebagai kalah satu medan tempur sahaja, bukannya kalah dalam satu peperangan besar.


Selepas Johor, strategi Umno untuk “mengepung kota dari desa” dijangka akan sampai ke Perak pula.


_________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang


0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page