PRN Johor tentang masa depan, bukan politik ketakutan - Saifuddin
- Sidiqin Omar

- 1 hour ago
- 2 min read

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu menjadi medan untuk rakyat menilai pihak yang mampu membawa pelaburan masa depan yang lebih baik kepada negeri ini, bukannya terperangkap dalam politik perkauman dan sentimen ketakutan.
Menurut Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kenyataan itu terbukti melalui pelbagai projek strategik yang kini sedang dilaksanakan dan akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Johor serta memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya mereka yang berulang-alik bekerja di Singapura.
"Pilihanraya ini sepatutnya mengenai pekerjaan, pendapatan, pelaburan dan masa depan anak-anak kita.
"Kejayaan Johor bukan ditentukan oleh siapa yang paling banyak membuat janji, tetapi siapa yang mampu memberikan hasil yang terbaik kepada rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan Johor di Batu Pahat.
Justeru itu, Saifuddin mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan kempen yang memainkan sentimen agama dan kaum bagi meraih sokongan politik.
Beliau berkata pendekatan Pakatan Harapan adalah berasaskan perpaduan dan kebersamaan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
"Jangan beri ruang kepada kempen yang menakut-nakutkan rakyat kononnya hak akan hilang, agama akan tergugat atau bangsa akan terancam. Melayu, Cina, India dan semua kaum adalah kekuatan negara ini.
"Pendekatan kita ialah ‘we are all together’, bukan ‘us versus them’," katanya.
Dalam pada itu Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, usaha sedang dilaksanakan kerajaan Persekutuan termasuk pemodenan sistem pengurusan mobiliti sempadan di Kompleks Sultan Iskandar melibatkan penggunaan teknologi biometrik dan pengecaman wajah bagi mempercepatkan proses keluar masuk negara.
Katanya, sistem baharu itu dijangka mengurangkan masa pemeriksaan di pintu masuk sempadan kepada hanya beberapa saat, sekali gus membantu menyelesaikan masalah kesesakan yang telah berlarutan sekian lama.
"Ini bukan drama politik. Ini adalah tekad politik yang diterjemahkan kepada tindakan untuk menyelesaikan masalah rakyat. Kita mahu rakyat merasai sendiri manfaat daripada dasar dan keputusan yang dibuat kerajaan," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang bakal beroperasi tidak lama lagi akan menjadi satu perubahan besar kepada mobiliti rakyat Johor yang bekerja di republik itu.
Menurutnya, apabila isu kesesakan sempadan dapat dikurangkan dan hubungan ekonomi Johor-Singapura diperkukuh menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), negeri itu akan muncul sebagai antara hab ekonomi paling dinamik di rantau ini.
"Apabila pergerakan manusia dan barangan menjadi lebih lancar, Johor akan menjadi lebih rancak. Prasarana lebih baik, sistem sempadan lebih cekap dan peluang ekonomi akan bertambah luas," katanya lagi.




Comments