50 peratus pengundi wanita, Machap Jaya bawa suara wanita Melaka - Juwairiya


Kira-kira 50 peratus pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya terdiri daripada wanita, sekali gus menjadikan representasi suara golongan itu ke DUN Melaka antara perkara penting dalam menentukan wakil rakyat kawasan berkenaan.
Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Juwairiya Zulkifli berkata, pencalonan semula Datuk Ginie Lim pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 menawarkan pengalaman bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco wanita kepada pengundi.
Menurutnya, pengalaman Ginie ketika pernah memegang portfolio Exco Pembangunan Wanita dan Luar Bandar serta menjadi wakil rakyat Machap Jaya memberikan kelebihan dari segi pemahaman terhadap keperluan dan isu masyarakat setempat.
"Kita perlukan calon wanita sebagai representasi dalam kerajaan negeri dan Dewan Undangan Negeri Melaka supaya suara wanita seimbang serta diwakili pemimpin wanita yang berpengalaman.
"Beliau dengan pengalaman sebagai Exco wanita dan pernah menjadi ADUN Machap Jaya, sudah tentu lebih mengetahui keadaan, situasi serta isu yang berkaitan kawasan ini, khususnya membabitkan wanita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena hari penamaan calon PRN Melaka ke-16 di Dewan Japerun Machap Jaya, hari ini.
Juwairiya berkata, Ginie turut mempunyai pengalaman dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan mahasiswa, seni budaya, industri kreatif serta pembangunan masyarakat luar bandar.
Katanya, pengalaman tersebut membentuk latar belakang kepimpinan Ginie yang bukan sahaja memahami isu wanita, malah keperluan anak muda, suri rumah dan peniaga kecil.
"Beliau melalui proses kepimpinan sejak zaman universiti sebagai pemimpin mahasiswa, sebelum pengalaman itu diterjemahkan dalam realiti kehidupan dan pembangunan di kawasan sendiri.
"Sebab itu, calon kita bukan sahaja pernah menjadi ADUN, tetapi juga mempunyai pengalaman kepimpinan anak muda," katanya.
Pengalaman Pengerusi Melaka Invest
Selain itu, Juwairiya berkata, pengalaman Ginie sebagai Pengerusi Melaka Invest turut menjadi antara latar belakang yang boleh dimanfaatkan dalam memahami isu ekonomi dan pembangunan negeri.
Menurutnya, pengalaman tersebut penting dalam menangani keperluan pelbagai kelompok masyarakat, termasuk golongan wanita, anak muda dan peniaga di Machap Jaya.
Beliau berkata, pencalonan Ginie juga memberi peluang kepada pengundi menilai semula pengalaman dan rekod perkhidmatannya sepanjang berada dalam landskap politik negeri.
"Beliau cukup memahami dan saya percaya mampu memikul tanggungjawab ini sekali lagi untuk menjadi suara semua pihak, termasuk anak muda, wanita, suri rumah mahupun peniaga di Machap Jaya," katanya.
Tegas Juwairiya lagi, kehadiran Ginie kali ini membawa kembali pengalaman seorang bekas wakil rakyat yang pernah berkhidmat di kawasan berkenaan, khususnya dalam memperjuangkan isu pembangunan wanita dan masyarakat setempat.




Comments