top of page

PRN Johor: PH umum calon Isnin, libat pelbagai latar belakang - Zaliha

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
Jun 18
2 min read

Seramai 56 calon melibatkan pelbagai latar belakang termasuk anak muda serta profesional bagi menggalas misi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka diumumkan pada Isnin depan.


Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) memberitahu, pengumuman itu dijangka dibuat pada majlis melibatkan pimpinan tertinggi parti termasuk Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Pengumuman calon ini telah disepakati oleh PH negeri dan juga pusat. InsyaAllah kita akan adakan di sebelah utara Johor, kemungkinan di Bukit Gambir, Tangkak," katanya kepada Suara Keadilan.


"Kita juga masukkan unsur (golongan) profesional, anak muda, wanita dan kepelbagaian kaum supaya ada keseimbangan dalam calon yang diketengahkan."


Zaliha menjelaskan lokasi tersebut dipilih bagi melonjakkan gelombang sokongan rakyat selepas beberapa siri program di zon utara termasuk di Bukit Naning menunjukkan respons sangat menggalakkan.


Beliau berkata proses pemilihan calon melibatkan penelitian di peringkat akar umbi bagi memastikan mereka dipilih benar-benar memahami keperluan masyarakat setempat dan mencatatkan rekod perkhidmatan yang baik.


Beliau berkata, PH memasuki gelanggang pilihanraya kali ini bukan sekadar untuk menambah bilangan kerusi dimenangi tetapi meletakkan sasaran membentuk Kerajaan Negeri.


Terdahulu Zaliha dalam hantaran di media sosial menyatakan beliau menghadiri Mesyuarat Khas Pimpinan PH Johor bagi menilai perkembangan semasa dan menyusun gerak kerja yang lebih tersasar menjelang PRN Johor.


"Alhamdulillah, laporan dari lapangan amat positif. Semangat rakyat untuk melihat Johor terus maju bersama Kerajaan MADANI semakin dirasai dan memberi keyakinan kepada seluruh jentera PH.


"Misi kita jelas, menambah kemenangan kerusi Pakatan Harapan dan membina masa depan Johor yang lebih baik. InsyaAllah, dengan usaha berterusan dan sokongan Bangsa Johor, kemenangan akan menjadi milik kita.


"Ayuh, undi Pakatan Harapan," ujarnya.


PH akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan KEADILAN meletakkan calon di 20 kerusi, DAP (17) dan Amanah (19).


Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN Johor pada 11 Julai dengan penamaan calon pada 27 Jun dan pengundian awal pada 7 Julai.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page