PRN Johor, N Sembilan: Pengundi Perlu Bijak Memilih Berdasarkan Rekod
- Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil

- Jun 21
- 3 min read

ULASAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan bahawa tarikh pembuangan undi untuk Negeri Johor adalah pada tanggal 11 Julai 2026 dan Negeri Sembilan pula pada 1 Ogos 2026, keputusan ini dibuat setelah Barisan Nasional (BN) membubarkan Kerajaan Negeri Johor dan menarik sokongan dari Kerajaan Negeri Sembilan. Keputusan ini walaupun dikesali tetapi terpaksa dituruti oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan pentadbiran kedua-dua Kerajaan Negeri tersebut dapat dijalankan tanpa kekangan.
Keputusan BN untuk menamatkan pentadbiran Kerajaan Madani di kedua-dua negeri tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana peringkat mesyuarat, ia dilakukan oleh pemimpin BN dengan sangkaan bahawa mereka mampu mentadbir kedua-dua negeri tersebut secara sendiri selepas selesai Pilihanraya Negeri (PRN) nanti.
Pendirian kepimpinan PH semenjak awal lagi adalah untuk mengekalkan pentadbiran kedua-dua Kerajaan Negeri sehingga tamat tempoh bagi memastikan kesemua janji pilihanraya lepas dapat diselesaikan di samping mengelakkan pembaziran untuk melaksanakan PRN secara berasingan dengan Pilihan Raya Umum (PRU).
Keputusan tergesa gesa BN
Seluruh rakyat yang bakal terlibat dengan PRN Johor dan Negeri Sembilan harus sedar bahawa keputusan tergesa-gesa untuk menamatkan pemerintahan kerajaan di kedua-dua negeri terbabit adalah sepenuhnya di bawah tanggungjawab BN. Keputusan tergesa-gesa ini memberi kesan kepada kesejahteraan dan ekonomi rakyat di kedua-dua negeri terbabit.

Ketika ekonomi negara secara keseluruhannya sedang menunjukkan prestasi terbaik, keputusan tergesa-gesa menamatkan pemerintahan kerajaan di Johor dan Negeri Sembilan telah merencatkan perancangan pembangunan dan pelaburan untuk kesejahteraan rakyat.
Keadaan ekonomi global pada masa kini menunjukkan keadaan yang tidak stabil akibat peperangan yang melibatkan beberapa pihak bertelagah, akibatkan perdangan dunia merosot dan memberi kesan kepada pengeluaran dan produktiviti dunia. Malaysia tidak tersisih daripada masalah tersebut, namun Malaysa mampu menunjukkan prestasi terbaik melalui lonjakan KDNK, pengukuhan ringgit dan penurunan inflasi.
Justeru keputusan untuk merencatkan prestasi ekonomi melalui perlaksanaan PRN Johor dan Negeri Sembilan sebenarnya merupakan sabotaj bukan sahaja kepada negara, malah kepada kehidupan rakyat terbanyak.
Jejaskan kesejahteraan rakyat
Pelbagai alasan diberikan oleh kepimpinan BN apabila mengambil keputusan untuk menamatkan pemerintahan kerajaan di Johor dan Negeri Sembilan. Namun pada hari ini rakyat dapat menilai sendiri niat sebenar BN menamatkan pemerintahan kerajaan di kedua-dua negeri tersebut iaitu semata-mata untuk mendapatkan mandat baru pemerintahan secara bersendirian, tanpa gabungan dengan PH.
Sememangnya tiada siapa yang dapat mempersoalkan niat BN tersebut kerana itu adalah hak mereka untuk menentukan halatuju organisasi mereka. Namun adalah tidak bijak malah zalim untuk mengutamakan kepentingan memerintah secara bersendirian sehingga sanggup menjejaskan kesejahteraan dan kehidupan rakyat terbanyak.
Dapatan daripada kebanyakan pusat kajian menunjukkan zaman pemerintahan parti politik secara bersendirian telah tamat, pola pembentukan kerajaan pada masa mendatang memerlukan gabungan politik yang berbeza untuk bekerjasama bagi membentuk pemerintahan.
PH dalam isu ini sangat terbuka dan menunjukkan keikhlasan untuk tolak ansur dan kerjasama dengan BN, namun BN masih dalam dunia khayalan di mana mereka mampu memerintah secara sendirian tanpa kerjasama dan gabungan dengan parti politik lain.
Undi pihak yang ikhlas
Keputusan selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan nanti pasti akan membawa kesemua gabungan politik ke meja rundingan semula, justeru apa kepentingannya untuk menamatkan pemerintahan kerajaan di kedua-dua negeri terbabit dalam keadaan tergesa-gesa sehingga menjejaskan kehidupan rakyat?
BN dalam isu ini terlalu terbuai oleh nafsu untuk berkuasa secara bersendirian, mimpi tersebut menyebabkan mereka sanggup memerjudikan prestasi ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Sekiranya mimpi mereka tercapai sekali pun, adakah ia berbaloi dengan ekonomi dan kesejahteraan sebagai galang gantinya?
Rakyat secara keseluruhannya harus mula sedar, pihak mana yang benar-benar ikhlas memerintah untuk kesejahteraan dan pihak mana yang hanya memikirkan percaturan kuasa untuk kepentingan diri sendiri. Pilihan yang salah akan hanya membebankan rakyat untuk berhadapan dengan kerajaan yang memikirkan kepentingan diri sendiri mendahului kepentingan rakyat untuk tempoh 5 tahun mendatang. Berhati-hatilah semasa membuang undi nanti.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor




Comments