PRN Johor: Muhasabah kelemahan untuk bangkit semula
- Suara Keadilan

- 30 minutes ago
- 1 min read

Kekalahan KEADILAN dalam Pilihan Raya Negeri Johor semalam seharusnya dijadikan iktibar untuk memperkuat perjuangan pada masa depan.
Bagi mantan ADUN Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar), parti perlu melakukan muhasabah secara terbuka terhadap kelemahan yang menyebabkan kekalahan berkenaan, sambil menegaskan sindrom penafian hanya akan menyukarkan usaha untuk bangkit semula.
Menurut beliau, kekalahan yang dialami perlu diakui secara jujur dan dijadikan asas untuk melakukan pembaharuan, bukannya terus menafikan kelemahan yang wujud.
"Kenapa kita kalah? Kerana kita gagal. Kena akui, bukan menafikan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berpandangan masih belum terlambat untuk memperbaiki keadaan, namun syarat utamanya ialah semua pihak bersedia mengakui kelemahan dan mengambil langkah membetulkan segala kekurangan.
Ustaz Fakhrulrazi turut mengingatkan agar perjuangan yang dibina hampir tiga dekad tidak disia-siakan hanya kerana parti pernah memimpin dalam tempoh yang singkat.
"Jangan sia-siakan pengorbanan hampir 30 tahun tetapi hanya memimpin lima tahun. Untuk kembali bangkit selepas diberi peluang bukanlah perkara yang mudah untuk didapatkan kembali," katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap budaya dalam parti yang didakwanya tidak menghargai mereka yang lama berjuang.
"Yang berjuang dan derita tidak dihargai, yang tidak tahu dari mana berdabik dada. Maka jangan salahkan kenapa kita hilang kekuatan," katanya.




Comments