top of page

MB NS gantung tugas: Jangan tindas penjawat awam, ketepikan politik

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
41 minutes ago
2 min read
Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid. Gambar arkib
Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid. Gambar arkib

Tindakan menggantung tugas dua pegawai kanan kerajaan Negeri Sembilan disifatkan sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku sepanjang pengalamannya dalam urusan pentadbiran dan pekerjaan, kata Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.


Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN Selangor itu berkata, tindakan berkenaan juga dilihat sebagai bentuk ‘penindasan’ terhadap penjawat awam yang tidak terlibat secara langsung dalam proses politik di sesebuah negeri atau negara.


"Apa yang berlaku di Negeri Sembilan itu adalah satu cerminan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah dan pengalaman saya (sepanjang terlibat dengan) pentadbiran urusan pekerjaan.


"(Kuasa) untuk menggantung atau mengambil tindakan terhadap penjawat awam terbabit seharusnya tertakluk kepada pihak berkuasa perkhidmatan seperti Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), berdasarkan peruntukan undang-undang dan peraturan ditetapkan.


"Itu adalah landasan yang benar yang diperuntukkan dalam undang-undang, tetapi apa yang berlaku pada hari ini Menteri Besar (Datuk Ismail Lasim) (saya pun) tak tahu daripada mana dia dapat ilham, telah menggunakan kuasa dia untuk menindas penjawat awam yang tidak terlibat secara langsung dalam proses politik dalam sesebuah negeri atau negara," katanya dalam satu siaran video.


Mengulas lanjut, Abdullah Sani yang juga merupakan mantan Pengerusi Kaukus Pekerja Parlimen berkata, pelantikan mereka itu sebagai penjawat awam tidak seharusnya menyebabkan mereka dikenakan tindakan sedemikian tanpa melalui lembaga tatatertib yang ditetapkan.


"Itu adalah perkara yang tidak diizinkan dan keterlaluan (iaitu) mengheret penjawat awam. Mereka itu bukan ahli politik, kenapa harus mereka itu diheret dalam permasalahan ini?


"Saya nak nasihatkan, di negeri mana-mana pun (agar) memahami undang-undang sebelum (sesuatu) tindakan diambil.


"Harus diingat bahawa kamu adalah pilihan yang dibuat atas prinsip undi," kata beliau yang juga mantan Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).


Terdahulu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan memutuskan untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.


Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Khas MMKN yang diadakan semalam.


Menurut Ismail, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali dinamakan untuk menjalankan tugas SUK sehingga Setiausaha Kerajaan Negeri baharu dinamakan oleh KSN.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page