RCI TH: 7 pelaburan rugi seratus peratus, rakyat tanggung kos penyelamatan


Kerugian besar yang berlaku dalam pengurusan dan pelaburan Tabung Haji (TH) bukan hanya memberi kesan kepada pendeposit, malah turut mempunyai implikasi kepada rakyat sebagai pembayar cukai, kata Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Yunos.
Beliau berkata, apabila kerajaan perlu mengambil langkah penyelamatan terhadap kerugian yang berlaku, sumber kewangan kerajaan yang digunakan akhirnya datang daripada wang rakyat termasuk hasil kutipan cukai.
"Bila berlaku kerugian, siapa yang tanggung? Kerajaan. Dan wang kerajaan itu adalah wang pembayar cukai.
"Jadi rakyat yang tidak ada kaitan secara langsung dengan pelaburan tersebut turut menerima kesannya," katanya ketika menyampaikan ceramah pada Siri Jelajah Ceramah Kelompok Biro Penerangan KEADILAN Melaka di Desa Chenderah, semalam.
Menurut Eddiarman, perkara itu perlu difahami rakyat kerana kerugian yang berlaku dalam institusi berkaitan Tabung Haji bukan sekadar angka dalam laporan kewangan, sebaliknya mempunyai kesan kepada kewangan awam dan pulangan yang diterima pendeposit.
Beliau berkata, berdasarkan penjelasan kerajaan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), TH mencatat kerugian hampir RM13 bilion melalui 14 pelaburan bermasalah, dengan tujuh daripadanya mengalami kerugian 100 peratus.
Daripada jumlah tersebut, RM10.2 bilion ditanggung kerajaan melalui langkah penyelamatan pada 2018, manakala RM2.6 bilion lagi merupakan rosot nilai yang ditanggung TH antara 2018 hingga 2025.
14 pelaburan bermasalah
Eddiarman berkata skala kerugian itu menunjukkan pentingnya rakyat memahami dapatan RCI serta persoalan yang timbul berhubung proses membuat keputusan pelaburan TH pada tempoh yang disiasat.

"Bayangkan, 14 pelaburan. Tujuh daripadanya rugi sepenuhnya. Ini bukan kerugian kecil. Ini menunjukkan betapa pentingnya kita melihat bagaimana keputusan pelaburan dibuat dan siapa yang bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut," katanya.
Laporan RCI yang meneliti pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 mengesyorkan audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah. RCI turut mengenal pasti kewujudan transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat dalam perkara berkaitan pelaburan tersebut.
Menurutnya, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai pertikaian politik semata-mata kerana ia menyentuh soal amanah, pengurusan dana serta kepentingan jutaan pendeposit.
Tujuh pelaburan rugi 100 peratus
Eddiarman berkata angka tujuh daripada 14 pelaburan yang mengalami kerugian 100 peratus merupakan perkara yang perlu difahami masyarakat kerana ia menggambarkan skala sebenar masalah yang berlaku.
"Kalau kita labur RM1 juta dan rugi RM200,000, itu sudah satu kerugian. Tetapi kalau labur RM1 juta dan hilang keseluruhannya, itu adalah kerugian yang jauh lebih serius," katanya.
Beliau berkata, penjelasan mengenai kerugian tersebut penting supaya masyarakat dapat memahami mengapa langkah pemulihan dan penstrukturan perlu dilakukan bagi memastikan masalah kewangan yang pernah berlaku tidak berulang.
Kerajaan sebelum ini menjelaskan bahawa kedudukan TH kini telah kembali stabil, dengan aset berjumlah RM98.58 bilion berbanding liabiliti RM95.63 bilion pada akhir 2025. Dana simpanan pendeposit juga meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025.




Comments