PRN Johor, Melaka Bakal Jadi Medan Ujian Pas Bergerak Solo?
- Suara Keadilan

- 14 hours ago
- 3 min read

Oleh: Awang Muda
ULASAN: Perkembangan mutakhir dalam landskap politik parti pembangkang Perikatan Nasional (PN) memperlihatkan satu perubahan besar sedang berlaku. Di sebalik kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan perebutan pengaruh dalam gabungan PN, semakin banyak pihak mula melihat Pas bukan lagi sekadar rakan komponen biasa tetapi kuasa dominan sebenar dalam gabungan pembangkang.
Hal yang lebih menarik, desas-desus mengenai kemungkinan Pas menguji kekuatan secara lebih bebas di Johor dan Melaka kini mula diperkatakan dalam kalangan pemerhati politik.
Walaupun belum ada pengumuman rasmi, perbincangan mengenai strategi “PAS go solo” semakin kuat selepas beberapa perkembangan yang menggugat kestabilan dalaman Bersatu sejak 2025.
Pas makin dominan dalam PN
Tidak dapat dinafikan bahawa sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 15, Pas merupakan penyumbang terbesar kerusi kepada PN. Malah, kekuatan jentera akar umbi Pas dilihat jauh lebih tersusun berbanding Bersatu yang masih bergelut dengan krisis kepimpinan dan perpecahan dalaman.
Dalam banyak keadaan, Pas kini dilihat sebagai “enjin utama” pembangkang Melayu-Islam, manakala Bersatu semakin bergantung kepada kekuatan penyokong Pas untuk terus relevan.
Keadaan ini menimbulkan persoalan besar iaitu sekiranya Pas sudah menjadi kuasa utama dalam PN, mengapa parti itu masih perlu bergantung sepenuhnya kepada Bersatu?
Persoalan itu kini semakin kuat dimainkan di media sosial dan kelompok penyokong akar umbi PN sendiri.
Johor, Melaka makmal politik terbaharu
Berbeza dengan negeri tradisi Pas di Pantai Timur, Johor dan Melaka mempunyai demografi pengundi Melayu campuran bandar dan luar bandar yang lebih kompleks.
Sebab itu, jika Pas benar-benar mahu membuktikan bahawa mereka sudah berubah daripada parti kenegerian kepada kuasa nasional, dua negeri ini menjadi medan ujian paling strategik.
Naratif yang mula dimainkan ialah jika Pas mampu bertanding dengan identiti sendiri di Johor dan Melaka, maka Pas sebenarnya sudah memasuki fasa baharu politik nasional.
Malah, langkah itu juga boleh dijadikan ukuran sama ada “gelombang hijau” masih mempunyai daya tarikan di luar kubu tradisi Pas.
Kem Hamzah Zainudin faktor penting
Dalam masa sama, gerakan politik melibatkan Daruk Seri Hamzah Zainudin yang dibuang dari Bersatu turut menarik perhatian ramai.
Bekas tokoh kanan Bersatu itu dilihat masih mempunyai pengaruh terhadap sebahagian jentera dan pemimpin akar umbi di beberapa negeri termasuk Johor, Perak dan Melaka.
Pemerhati politik melihat kemungkinan kerjasama strategik antara Pas dan kelompok Hamzah sebagai sesuatu yang tidak mustahil berlaku, terutama jika krisis dalaman Bersatu terus berpanjangan.
Jika senario itu berlaku, Pas tidak lagi memerlukan keseluruhan struktur Bersatu untuk bergerak. Sebaliknya, Pas hanya perlu menarik masuk kelompok strategik yang mempunyai pengalaman pilihanraya dan jaringan tempatan.
Perkembangan ini secara tidak langsung menguatkan persepsi bahawa PN sedang berubah menjadi gabungan yang semakin berpusat kepada Pas.
Bersatu semakin tertekan?
Di peringkat akar umbi, semakin ramai penyokong PN mula mempersoalkan hala tuju gabungan tersebut.
Ada yang melihat Bersatu semakin hilang identiti dan gagal memainkan peranan dominan seperti sebelum ini. Dalam masa sama, Pas pula semakin yakin dengan kekuatan sendiri selepas kejayaan besar di negeri-negeri Melayu sebelum ini.
Situasi ini membuka ruang kepada perang saraf politik yang semakin jelas iaitu Pas mendapat keyakinan bahawa mereka cukup kuat untuk bergerak sendiri manakala Bersatu pula semakin bimbang kehilangan pengaruh dalam gabungan.
Jika sentimen ini terus berkembang, tidak mustahil hubungan dalam PN akan menjadi semakin rapuh menjelang PRU16.
Hal yang sedang berlaku hari ini mungkin bukan sekadar konflik biasa dalam gabungan pembangkang.
Sebaliknya, ia mungkin petanda awal bahawa Pas sedang menyusun langkah untuk muncul sebagai kuasa utama politik Melayu-Islam secara lebih terbuka dengan Johor dan Melaka dijadikan medan ujian.
Jika percaturan ini benar-benar berlaku, kesannya bukan sahaja menggoncang PN, malah boleh mengubah keseluruhan landskap politik Melayu menjelang pilihan raya umum akan datang.




Comments