PRN Johor: KEADILAN muktamadkan calon dalam tempoh dua minggu
- Suara Keadilan

- Jun 3
- 1 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dijangka memuktamadkan jumlah kerusi dan senarai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam tempoh dua minggu lagi.
Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, parti ketika ini fokus kepada rundingan pembahagian kerusi, penyelarasan jentera serta pemilihan calon bagi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap terbaik.
"Kita telah memikirkan kemungkinan pembubaran DUN Johor sejak dua bulan lepas dan semua persiapan telah pun diatur.
"Dengan pembubaran sekarang ini, parti perlu bergerak lebih pantas untuk memastikan isu pembahagian kerusi, persediaan logistik serta persediaan calon dapat dilengkapkan secepat mungkin," kata Pengarah Pilihan Raya Bersama KEADILAN itu dipetik.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan secara rasmi pada Isnin bagi memberi laluan kepada PRN Johor ke-16.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi menetapkan tarikh penting pilihan raya termasuk penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian di semua 56 kerusi DUN di negeri itu.
Sementara itu, sebagai mengulas mengenai pembahagian kerusi antara komponen Pakatan Harapan (PH), Amirudin optimis kerjasama erat dalam gabungan itu akan memudahkan proses tersebut.
Jelasnya, jika terdapat sebarang situasi yang memerlukan pertimbangan terhadap kerjasama dengan gabungan tertentu, perkara itu akan dibincangkan oleh Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan tertinggi gabungan berkenaan.




Comments